Tiada Simpati Jika Arul Dan Shahrul Menipu – PAC

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak akan bersimpati kepada Presiden dan Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrul Halmi Ibrahim Halmi sekiranya terbukti mereka menipu untuk mengelak daripada hadir prosiding jawatankuasa itu Selasa lalu.

 

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kedua-duanya juga perlu bersedia menjawab soalan PAC yang lebih agresif daripada biasa.

 

PAC pada 19 Mei lalu memulakan siasatan terhadap 1MDB kerana syarikat pelaburan strategik negara itu dikatakan mengalami kerugian sehingga RM42 bilion selain melakukan urusniaga yang mencurigakan.

 

“Memandangkan mereka tahu kami serius, mungkin mereka perlu lebih masa untuk bersedia. Tapi kali ini kalau ada bukti mereka menipu kami, maka soalan akan lebih agresif daripada biasa.

 

“Kami beranggapan mereka akan datang dengan niat jujur untuk beritahu kami apa sebenar berlaku. Tetapi kalau ada bukti mereka menipu, ahli PAC tidak akan bersimpati dengan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

 

Nur Jazlan berkata, Arul Kanda dan Shahrul perlu menjelaskan dengan spesifik mengapa mereka gagal hadir untuk memberi keterangan, minggu lalu, selain menjawab persoalan pokok mengenai kontroversi yang menghambat 1MDB.

 

“Jika mereka hadir, kami akan tanya mereka sama ada betul mereka di luar negara. Tapi apa yang lebih penting ialah untuk kita tahu apa yang sebenarnya berlaku semasa mereka menjadi CEO 1MDB.

 

“Itu lebih penting daripada sama ada mereka mempunyai alasan yang baik atau tidak untuk tidak hadir,” ujarnya.

 

Untuk rekod, Isnin lalu, Jazlan memberitahu bahawa PAC telah menerima surat makluman daripada Kementerian Kewangan pada Jumaat lepas bahawa prosiding 1MDB pada 26 Mei lalu, terpaksa ditangguhkan.

 

Ini berikutan Arul Kanda dan Shahrul tidak dapat hadir kerana mendakwa mempunyai urusan di luar negara pada hari berkenaan.

 

Selain PAC, Jabatan Audit Negara juga sedang menyiasat 1MDB atas tuduhan yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.