CEO Syarikat Minyak Dan Gas Dirompak Lebih RM300,000

Ampang – Seorang ketua pegawai eksekutif syarikat minyak dan gas kerugian lebih RM300,000 apabila sekumpulan lelaki bersenjatakan parang memecah masuk kediaman dan menyamunnya sekeluarga di Taman Tun Abdul Razak (Taman TAR), Ampang awal pagi tadi.

 

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata kejadian berlaku kira-kira 5 pagi ketika mangsa bergelar Datuk itu bersama 7 anggota keluarganya sedang tidur.

 

Beliau berkata mereka dikejutkan kumpulan itu yang dipercayai merupakan warga asing yang memecah masuk dari tingkap belakang kediaman mangsa.

 

Kumpulan penjenayah itu dilaporkan mengacukan parang ke leher Datuk berkenaan ketika mengejutkannya, katanya.

 

“Mereka kemudiannya mengarahkan 7 anggota keluarga mangsa yang lain berkumpul di sebuah bilik sebelum mengikat tangan mereka dan menggeledah rumah mangsa.

 

“Mereka kemudiannya melarikan wang tunai, jam tangan, telefon bimbit serta barang kemas yang dianggarkan bernilai RM300,000,” kata Abdul Samah.

 

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan jenayah tersebut dilakukan anggota Geng Rantau yang aktif merompak kediaman mewah di kawasan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.