Tegar Tidak Simpan Dendam Pada Bapa Kandungnya

DARI penghibur jalanan, nama Tegar Septian mendadak naik menjadi artis popular.
 
Bahkan, lagunya Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang menjadi lagu hit bukan saja di Indonesia tetapi di Malaysia dan Singapura.

Dek popularitinya itu, bapa kandungnya, Aris yang terpisah mula mencarinya semula biarpun pernah meninggalkan penyanyi cilik itu ketika masih lagi berada dalam kandungan ibunya, Ratna Dwisasi.

Namun, Tegar mengakui tidak pernah menyimpan sebarang perasaan dendam terhadap bapa kandungnya itu.

Malah, dia juga tidak mahu mengetahui langsung masalah melanda ibu bapanya.

“Sebagai anak, saya tetap menerima kehadiran ayah kandung saya dengan ikhlas kerana dia tetap darah daging saya.

“Lagipun, bakat nyanyian ini juga datang daripada dia.

“Biarpun dia datang berjumpa dengan saya selepas menjadi penyanyi yang dikenali, saya tetap menerimanya dengan hati terbuka,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran album terbaharunya, Ke Mana Kasih Sayang, baru-baru ini.

Tidak setakat itu, Tegar juga menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak apabila berkongsi separuh wang hasil jualan album pertamanya kepada bapa kandungnya itu.

“Saya ada memberikan wang hasil jualan album pertama kepadanya untuk membina kehidupan lebih baik,

“Dia juga adalah penghibur jalanan,” katanya.

Belajar di rumah

Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 13 tahun ini menjelaskan yang dia tidak bersekolah seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya.

Sebaliknya, dia mengambil pembelajaran di rumah yang memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 sesi pembelajaran dalam tempoh sebulan.

“Guru akan datang ke rumah ketika saya tiada undangan persembahan atau rakaman program nyanyian.

“Biasanya, dalam sebulan ada 10 sesi tetapi jika jadual pada bulan berkenaan terlalu padat maka saya harus menggantikannya pada bulan depan. Setiap enam bulan pula akan ada ujian untuk saya,” katanya.

Jelasnya, pembelajaran dan kerjaya haruslah diseimbangkan kerana kedua-duanya adalah penting.

“Belajar dan menyanyi sama penting. Saya harus belajar, pada masa sama, saya harus mencari rezeki untuk keluarga.
 
“Malah, ada juga ustaz yang datang ke rumah untuk mengajar agama dan fardu ain,” katanya yang akan bercuti selama sebulan pada Julai ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.