Suspek Kes Bunuh Polis Mesti Dibawa Ke Pengadilan

KUALA LUMPUR – Pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah mesti dihadapkan ke muka pengadilan, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Perdana Menteri menerusi catatan terbaharu beliau di Twitter turut melahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mohd Azuan. 

“Takziah kepada keluarga Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah yang terkorban sewaktu bertugas. Mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan,” kata Najib.

Dalam insiden 1.15 petang Isnin, Mohd Azuan, 25, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, maut di tempat kejadian manakala rakan setugasnya cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh kereta penjenayah.
   
Kejadian berlaku di Batu 10 menghala Alor Pongsu dekat Parit Buntar, ketika kedua-duanya dilapor mengejar sebuah kereta yang dinaiki suspek dalam kes samun van rokok sebelum itu. 

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani hari ini berkata kes tersebut diklasifikasi sebagai kes bunuh berdasarkan perbuatan penjenayah yang didapati sengaja merempuh dari arah belakang motosikal anggota URB berkenaan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.