Ibu dan Bayi 8 Bulan Terbakar

SEORANG ibu dan bayinya yang berusia lapan bulan rentung dalam kemalangan jalan raya berhampiran sebuah sekolah menengah di Jalan Bakam, Miri pada jam 6.10 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, kereta Proton Saga yang dipandu oleh mangsa, Amira Farhana Abdullah@Rohnalee Labo, 28, bersama bayi perempuannya, Adiera Insyirah Ahmad Al Aamier, meletup dan terbakar selepas bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Nissan Navara yang datang dari arah bertentangan.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa dari Jalan Pujut, Tanjung Batu bersama bayinya dalam perjalanan dari Miri menghala ke arah Bakam apabila bertembung dengan kenderaan 4WD berkenaan.

Manakala pemandu kenderaan 4WD terbabit, 48, yang juga seorang pensyarah di sebuah institut perguruan di Miri bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Holiday Park di Luak selepas menghantar anak mereka di SMK Agama Miri di Bakam.

Pasangan suami isteri tersebut terselamat selepas berjaya dikeluarkan oleh orang ramai yang menyaksikan kejadian itu, sejurus sebelum kenderaan itu turut disambar api beberapa minit kemudian.

Menurut seorang saksi, pertembungan tersebut menyebabkan kereta yang dipandu mangsa meletup dan terbakar, manakala dua beranak malang terbabit tidak sempat diselamatkan oleh orang awam kerana keretanya yang remuk teruk.

“Mulanya, saya dan orang ramai cuba membantu mengeluarkan dua beranak terbabit yang sudah tidak sedarkan diri, namun gagal berikutan api marak dengan cepat sebelum menyelamatkan pasangan suami isteri yang masih berada di dalam kenderaan mereka.

“Mujur, ketika kejadian kenderaan dinaiki pasangan suami isteri terbabit belum terbakar dan kedua-dua mereka sempat diselamatkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.pix100006548

Tambahnya, beliau dan beberapa orang yang ada di situ hanya mampu melihat kenderaan terbabit terbakar hingga mengorbankan dua beranak malang itu, sebelum sepasukan anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) dan pasukan Bomba dan Penyelamat Miri tiba di tempat kejadian.

Sementara itu, kakak Rohnalee, Prescillia Labo ketika ditemui memberitahu beliau dan keluarganya terkejut apabila menerima berita tersebut.

“Saya dan suami serta anak saya tidak berada di rumah kami (di Senadin), apabila pihak polis datang ke rumah untuk memaklumkan perkara tersebut petang tadi (semalam), lalu bertanya kepada jiran saya yang kemudian memberikan nombor telefon bimbit saya untuk membolehkan mereka menghubungi saya,” jelas beliau.

Malah beliau mengakui pagi semalam, mereka turut menerima beberapa gambar mengenai kejadian tersebut, namun tidak menyangka sama sekali ia adalah adiknya sendiri serta anak saudaranya.

“Saya tidak mampu berkata apa-apa lagi sebaik saya mengetahui daripada pihak polis, bahawa ia adalah mereka (adik dan anak saudaranya),” jelas beliau.

Rohnalee, berbangsa Lun Bawang dari Lawas yang memeluk Islam selepas berkahwin, turut meninggalkan suami dan dua anak yang lain berusia lapan dan enam tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat manakala pasangan suami isteri terbabit hanya diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil atau menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. The Borneo Post


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.