Exco Selangor: Nama Saya Dipergunakan

SHAH ALAM –  Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Selangor, Rodziah Ismail mendakwa sebuah syarikat pembekal di Shah Alam menjaja dan menggunakan namanya bagi kepentingan peribadi serta mengaut keuntungan dengan menipu pelanggan.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya atau kerajaan negeri dalam syarikat tersebut yang beroperasi di Ken Rimba, Shah Alam.

“Syarikat ini kononnya membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai dengan gaji yang lumayan, tetapi bila mereka bekerja di sana, tugas hanya mengupas bawang busuk dan tidak mendapat upah seperti yang dijanjikan.

“Saya juga ingin tegaskan kepada orang ramai supaya jangan mudah tertipu dengan konspirasi ini, mereka hanya mahu mengambil kesempatan semata-mata,” katanya selepas merasmikan Success Story anjuran Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMMAR) di seksyen 17, semalam.

Rodziah yang juga Adun Batu Tiga berkata, syarikat itu juga menjual barangan dapur dan mengambil pesanan serta wang dari pelanggan tetapi barangan yang dipesan tidak dihantar.

“Paling teruk, syarikat itu juga mengutip wang RM100 dari orang ramai kononnya sebagai deposit dengan menjanjikan akan mendapat pulangan dalam bentuk barangan sebaliknya hanya janji palsu,” katanya.

Pihaknya mendapat maklumat selepas sekumpulan wanita hadir ke pusat khidmat masyarakat di Batu Tiga, mengadu dan bertanya mengenai kesahihan maklumat yang diterima dan penglibatan kerajaan negeri bersama syarikat itu.

“Saya menggesa pihak berwajib dan pihak polis segera mengambil tindakan dan siasatan lanjut berhubung penipuan yang dilakukan syarikat ini supaya tiada lagi mangsa yang terlibat.

“Saya juga difahamkan lebih kurang 1,000 pelanggan syarikat ini tertipu dan terpaksa menganggung kerugian RM10,000 selepas membayar deposit barang, tetapi barang yang dijanjikan tidak sampai ke tangan mereka,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mahu bekerja di sesebuah syarikat mengambil langkah berhati-hati dan tidak mudah tertipu.

“Saya juga ingin memberi nasihat, kalau nak bekerja, kena ada hitam putih atau kontrak. Jangan sampai kena tipu macam ni, kita pun susah nak tolong,” tegasnya.

Rodziah menambah, pihaknya sudah membuat laporan polis di balai polis Seksyen 15, kelmarin berhubung penipuan yang dibuat syarikat itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.