Dua Gadis Sunti Mangsa Kenduri Seks 38 Lelaki

KOTA BHARU 27 Mei – Seorang remaja perempuan berdepan pe­ngalaman menakutkan apabila dia dan rakannya mendakwa menjadi mangsa ‘kenduri seks’ 38 lelaki di sebuah rumah kosong di Ketereh di sini malam Selasa lalu.

Sebelum kejadian, mangsa ber­usia 15 tahun dikatakan menerima panggilan telefon daripada rakan perempuan yang mendakwa berada di Ketereh dan meminta mangsa membantu membawanya pulang ke rumah.

Sehubungan itu, mangsa keluar dari rumahnya yang terletak di Kuala Krai dengan menaiki motosikal bersama seorang sahabat lelaki.

Menurut sumber, sebaik sahaja tiba di Ketereh, mangsa dan sahabat lelakinya itu bertemu seorang pemuda sebelum dibawa ke sebuah rumah kayu kosong untuk mengambil rakan perempuannya itu.

“Sebelum sempat keluar dari rumah berkenaan, seorang lelaki berusia 40-an muncul dan menahan mereka berempat.

“Tidak lama selepas itu, lebih kurang 40 lelaki lain tiba dan memaksa mangsa dan rakan perempuannya masuk ke dalam bilik sebelum menampar dan merogol mereka berdua sehingga pengsan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut sumber itu lagi, selepas mangsa sedar dan dibawa keluar dari rumah berkenaan, rakan lelakinya memberitahu, dia telah dipaksa menonton aksi mangsa dan rakannya dirogol secara bergilir-gilir oleh 38 lelaki.

Katanya, mangsa hanya pulang ke rumahnya beberapa hari selepas kejadian tersebut sebelum menga­du sakit perut selain mengalami pen­darahan di kemaluannya. Ba­gaimanapun dia dimarahi ibu bapa­nya kerana keluar rumah tanpa pe­ngetahuan.

“Keluarganya sekadar menyuruh mangsa menelan ubat dan mi­num air berkarbonat untuk mencuci perut dan meredakan kesakitan namun sehingga kelmarin, kema­luan gadis itu masih berdarah menyebabkan dia dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan koyakan dan kecederaan pada kemaluan serta dubur mangsa. Mangsa seterusnya membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh semalam,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis sedang memburu suspek untuk membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Ke­seksaan kerana merogol.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.