BN Tangguh Kempen Hingga Selesai Pemakaman Sultan Perak

Bangi – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN) bagi Teluk Intan akan ditangguhkan serta-merta sehingga selesai istiadat pemakaman Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah yang mangkat pada jam 1.30 petang tadi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan perdana menteri itu berkata, semua majlis BN yang dijadualkan terlebih awal akan ditukar menjadi majlis tahlil dan doa selamat memperingati Sultan Perak.

“Atas sebab kemangkatan Sultan Perak, saya buat keputusan kempen BN kita tangguhkan dan majlis yang dirancang kita akan tukar dengan majlis tahlil dan doa, serta selawat,” kata Muhyiddin.

“Kita akan lakukan bermula hari ini sehingga selesai majlis pengebumian Almarhum,” katanya kepada pemberita selepas selesai program Kongres NGO Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di hari ini.

“Semoga Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh,” katanya.

Sultan Perak diisytiharkan mangkat hari ini oleh Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir melalui pengisytiharan secara langsung melalui Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) siang tadi.

BN meletakkan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong sebagai calon untuk menentang Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP bagi merebut kerusi itu.

PRK Teluk Intan dijadulakn berlangsung pada 31 Mei depan.

Teluk Intan mempunyai seramai 60,349 pengundi, meliputi 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal, dan 12 pengundi tidak hadir.

Daripada jumlah itu, 23,301 adakah pengundi Melayu (38.6%), Cina 25,310 (41.9%), dan 11,468 pengundi India (19%).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.