Calon PKR Hilang Kelayakan Tanding Kerana Berstatus Muflis

JELI – Hasrat PKR meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah tidak berjaya apabila calonnya, Dr Hafidz Rizal Amran, ditolak pencalonannya kerana muflis oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan raya Parlimen Jeli, Zulkifli Abdul Rahman selepas mengisytiharkan penamaan calon pada 11.20 pagi.

Calon PKR Parlimen Jeli, Azran Deraman ketika ditemui enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara terbabit.

Malah, usaha wartawan untuk mendapatkan Dr Hafidz Rizal juga tidak berjaya apabila beliau meninggalkan Pejabat Tanah Jajahan (PTJ) Jeli lebih awal iaitu pada 10.10 pagi.

Berikutan itu, calon BN, Datuk Abdul Aziz Derashid, akan menentang calon PAS, Mohd Apandi Mohamad dalam pertandingan satu lawan satu.

“Saya difahamkan calon PKR terbabit tidak melepasi syarat tapisan insolvensi, walaupun begitu, ia bukan tugas yang mudah untuk mengekalkan kemenangan di kerusi terbabit.

“Saya sudah lama berkhidmat di DUN Kuala Balah, dan rakyat tahu apa yang kerajaan sediakan untuk mereka, Insya-Allah, kita akan kekalkan kemenangan,” kata Abdul Aziz. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.