Lebih 1,000 Imam Diberkas

ANKARA – Pihak berkuasa Turki menangkap lebih 1,000 ‘imam rahsia’ yang menyusup masuk ke dalam pasukan polis bagi mempengaruhi mereka supaya menyokong ulama berpangkalan di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen.

Menurut Reuters, presiden Recep Tayyip Erdogan menuduh Fethullah cuba untuk menggulingkan beliau pada Julai tahun lalu.

Tangkapan di seluruh negara itu merupakan antara operasi terbesar terhadap penyokong Fethullah yang juga bekas sekutu Erdogan sejak beberapa bulan lalu.

Ulama berkenaan menafikan terlibat dalam rampasan kuasa itu yang diketuai sebilangan pegawai tentera.

Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu berkata, operasi itu menyasarkan rangkaian Fethullah yang menyusup masuk ke dalam pasukan polis Turki dan dinamakan imam rahsia.

“Seramai 1,009 imam rahsia ditahan setakat ini di 72 wilayah, manakala operasi tangkapan diteruskan,” kata beliau kepada pemberita di Ankara.

Seramai 9,103 anggota polis turut digantung kerja kelmarin, kata ibu pejabat polis di Ankara dalam satu kenyataan di laman webnya.

Pihak berkuasa telah menangkap 40,000 orang dan memecat atau menggantung kerja 120,000 yang lain susulan kegagalan rampasan kuasa itu termasuk tentera, polis, guru dan penjawat awam kerana dituduh bersekongkol dengan kumpulan pengganas.

Tangkapan terbaharu itu dibuat 10 hari selepas rakyat Turki memberikan kemenangan tipis untuk meluaskan lagi kuasa Erdogan dalam sebuah referendum yang didakwa parti-parti pembangkang dan pemerhati pilihan raya Eropah sebagai dicemari penipuan.

Referendum itu menyebabkan perpecahan di Turki. Pengkritik-pengkritik Erdogan bimbang keputusan itu akan mengakibatkan Turki menjadi negara kuku besi, manakala Erdogan berkata, kuasa Presiden perlu diperkukuh­kan bagi menghalang ketidakstabilan yang sering dikaitkan dengan kerajaan campuran.

Tambahnya, kuasa Presiden perlu diperluas ketika Turki berdepan pelbagai masalah termasuk ancaman keselamatan daripada kumpulan militan dan pejuang Kurdis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.