ICRC Digesa Tamatkan Kekejaman Israel

MESIR – Liga Arab gesa Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) campur tangan bagi menamatkan pencabulan hak oleh rejim zionis terhadap tahanan Palestin di penjara Israel.

Menurut Press TV, Ketua Setiausaha Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit te­­lah menghantar surat kepada Presiden ICRC, Peter Maurer, meminta jawatankuasa tersebut me­lin­du­ngi dan mempertahankan tahanan Palestin serta menghentikan pelbagai penyalahgunaan yang dilakukan terhadap golo­ngan itu, lapor Utusan.

Menerusi surat itu, Liga Arab turut menggesa ICRC untuk memastikan pentadbiran Israel me­ra­wat tahanan Palestin yang menyertai mogok lapar mengikut norma dan piawaian yang ditetapkan dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Liga Arab dalam satu kenyataan berkata, surat yang dihantar oleh Ahmed merupakan sebahagian daripada usaha masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pelanggaran hak asasi manusia terhadap tahanan perang Palestin di penjara Israel.

Sejak 17 April lalu, lebih 1,500 tahanan Palestin menyertai mogok lapar yang dimulakan oleh Marwan Barghouti yang sedang menjalani lima hukuman penjara seumur hidup di penjara Israel kerana peranannya dalam Intifada kedua Palestin terhadap Tel Aviv.

Marwan mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan serta da­sar kehakiman aparteid oleh rejim Zionis terhadap tahanan Palestin da­lam ruangan pendapat akhbar New York Times yang diterbitkan pada awal bulan ini, menegaskan tindakan kejam itu sebagai punca mogok lapar besar-besaran tersebut.

Menurut laporan awal minggu ini, keadaan kesihatan Marwan semakin merosot namun rejim Zionis tidak mengendahkannya, sebaliknya berkeras menuduh tahanan Palestin sebagai pengganas dan menganggap tuntutan mereka tidak munasabah.

Selasa lalu, Ketua Setiusaha Liga Arab itu turut menghantar surat sama kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memintanya mengutuk pencabulan hak asasi manusia Israel.

Beliau menegaskan, badan du­­nia itu perlu mengambil langkah praktikal bagi memastikan Tel Aviv menghormati undang-undang antarabangsa sebagai kuasa penjajah berdasarkan Konvensyen Geneva Keempat.

Penjara Israel menahan lebih 6,500 rakyat Palestin termasuk 300 kanak-kanak dan sebahagian daripada mereka ditahan di bawah dasar Tel Aviv yang membolehkan penahanan tanpa sebarang dakwaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.