Kek Lapis Dapat Sambutan Hangat Sepanjang Kempen PRN Sarawak

KUCHING – Kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) yang sedang berlangsung sekarang rupanya turut membawa rezeki tambahan untuk ramai pengusaha dan peniaga kek lapis di negeri ini.

 

Kek tradisional Bumi Kenyalang itu cukup terkenal dengan rasanya yang enak dan dihasilkan dengan pelbagai warna yang menarik serta rasa yang berbeza.

 

Ia sering menjadi pilihan ramai pengunjung yang datang dari Semenanjung sehinggakan para peniaga tidak menang tangan memenuhi permintaan luar jangka.

 

“Penjualan melonjak kira-kira 20 peratus kerana peningkatan bilangan pelanggan,” kata Pengurus Mira Cake House, Nur Fariza Junaidi dipetik dari laporan mStar Online.

 

Kebanyakan kek lapis bersaiz biasa di jual pada harga RM10.

 

Menurut Nur Fariza, ada antara penggemar kek tersebut yang sanggup membelanjakan sehingga RM600 semata-mata untuk dibawa balik ke Semenanjung.

 

“Perniagaan berada dalam keadaan baik kerana pilihan raya negeri ini. Lebih ramai orang datang dan kami menjangkakan penjualan meningkat menjelang beberapa minggu akan datang,” katanya.

 

Malah menurutnya lagi, pada Ahad lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut tidak melepaskan peluang membuat kunjungan mengejut ke kedainya semasa melakukan walkabout di Kampung Boyan di sini.

 

Kedai kek milik Nur Fariza itu turut menghasilkan kek lapis unik seperti kek lapis Tun Razak yang dihasilkan dari adunan pandan dan coklat.

 

Selain itu, terdapat juga kek lapis yang mempunyai rasa Nescafe dan Milo.

 

Nur Fariza berkata kedainya itu turut menerima tempahan khas untuk menghasil kek lapis istimewa bersaiz besar yang menggunakan warna Barisan Nasional.

 

“Susulan saiz kek itu yang besar, harganya mencecah antara RM300 dan RM400,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.