Warga Nepal Dibunuh Di Batu Pahat Kerana RM2

Batu Pahat – Hanya kerana berhutang sebanyak RM2, dua warganegara Nepal menemui ajal apabila dibunuh rakan sendiri dalam kejadian di asrama sebuah kilang simen di Jalan Yong Peng-Parit Sulong di sini pagi tadi.

 

Lebih mengejutkan, kedua-dua mangsa yang berusia pertengahan 20-an itu dibunuh menggunakan parang ketika mereka masih nyenyak tidur kira-kira jam 7 pagi.

 

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, insiden berlaku apabila mangsa pada malam kejadian telah bertengkar dengan seorang rakan rumah mereka.

 

Katanya, asrama tersebut dibahagikan kepada dua bilik yang masing-masing dihuni empat lelaki dan lima lelaki termasuk mangsa dan suspek.

 

“Salah seorang mangsa ada berhutang RM2 dengan suspek, namun siasatan mendapati motif pembunuhan itu disebabkan suspek sakit hati dengan kata-kata kesat yang dilemparkan mangsa ketika menuntut hutangnya.

 

“Seorang lagi mangsa yang turut sama dalam pertengkaran mulut itu dan menyebelahi mangsa, juga dibunuh ketika mereka sedang tidur pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

 

Menurut Din, suspek yang berusia awal 20-an bersama enam rakan senegara mereka yang menghuni asrama itu kini direman untuk membantu siasatan.

 

Tambah beliau, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hsopital Batu Pahat untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.