Wan Azizah Tak Mampu Jaga Pengundi – TPM

Permatang Pauh – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak layak menjadi wakil rakyat di Permatang Pauh memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sendiri yang disandangnya terabai.

 

Muhyiddin turut menasihatkan pengundi Permatang Pauh supaya bijak memilih wakil rakyat.

 

 

“Tapi kalau saya jadi penduduk di Permatang Pauh, saya nakkan wakil saya berada di sini, apakah mereka (penduduk Permatang Pauh) mahu wakil rakyat mereka jaga Kajang lepas itu sebulan sekali datang ke sini, tugas-tugas lain dan kerja-kerja lain pastinya yang nak dia buat tidak akan berkesan.

 

“Dia kata (Kajang) akan diuruskan oleh menteri besar Selangor, kalau macam itu, dia tak payahlah bertanding di sana. Ini tanggungjawab,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan projek naik taraf Hospital Seberang Jaya hari ini.

 

Menurut Muhyiddin, calon BN Suhaimi Sabudin merupakan calon yang paling sesuai untuk menjaga Permatang Pauh memandangkan beliau merupakan anak jati di situ.

 

“Kalau Suhaimi (menang) di sini, saya kata awak duduk di sini sepenuh masa. Rumah (calon BN) pun dalam kawasan, isu masalah banjir, pembangunan, kemudahan kesihatan serta soal tempat beribadah dan isu ekonomi, peluang pekerjaan, pastinya dengan jumlah pengundi 71 ribu dia (pengundi) memerlukan wakil rakyat Parlimen yang sepenuh masa.

 

“Itu saya fikir jauh lebih baik daripada Wan Azizah yang tak ada masa langsung, kita tahu rekodnya di Kajang, beliau tak turun ke bawah pun, menang tapi tidak jalankan tugas” ujarnya lagi.

 

Muhyiddin juga menafikan dakwan polis telah bertindak di luar bidang kuasa mereka dengan menghalang ceramah kerana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Pengarah PRK Permatang Pauh BN.

 

“Tidak begitu, polis bertindak atas kuasa yang ada pada polis. Dia tahu apa yang perlu dibuat. Kalau ikut peraturan tidak diganggu, kalau tidak ikut peraturan, tidak dapat permit, biasalah.

 

“Jadi bukan pasal Datuk Zahid ada sini ke tidak, tempat lain pun begitu juga sebab itu tanggungjawab pihak berkuasa,” katanya.

 

Walaupun PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru, namun kempen yang memasuki hari keempat hari ini lebih menonjolkan perang antara BN dan PKR.

 

Pada kempen-kempennya sebelum ini, BN lebih banyak membangkitkan soal pembangunan di Permatang Pauh.

 

Selain mempertikaikan tiada pembangunan di kawasan itu, BN juga menjanjikan pelbagai kemajuan lain sekiranya parti itu berjaya memenangi kawasan tradisi PKR tersebut.

 

Antaranya BN menjanjikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Permatang Pauh serta menambah baik rumah ibadah dan masalah banjir di kawasan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.