Wan Azizah Arahkan Azmin Jaga DUN Kajang

Permatang Pauh – Calon PKR Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail meyakinkan pengundi di sini bahawa kedudukannya sebagai presiden parti membolehkan beliau memberi arahan kepada ahli PKR supaya melihat-lihatkan kawasannya ketika beliau tiada.

 

Maka, isu beliau tidak mampu mewakili penduduk Permatang Pauh sepatutnya tidak timbul.

 

Wan Azizah berkata, dia mempunyai hak untuk mengarahkan timbalannya, Azmin Ali untuk mewakili beliau terutama untuk DUN Kajang.

 

“Saya adalah presiden dan timbalan saya adalah Menteri Besar Selangor, jadi tidak ada masalah untuk menjaga Kajang bagi pihak saya,” katanya selepas selesai berceramah di Masjid Saidina Abu Bakar di Taman Guar Perahu dan bertemu dengan komuniti Cina di Kubang Pasu.

 

Wan Azizah ditanya sama ada beliau dapat membahagikan masa dan tanggungjawab di kedua-dua kerusi DUN Kajang dan Parlimen Permatang Pauh sekiranya beliau menang PRK pada 7 Mei ini.

 

Azmin memberitahu di ceramah dua hari lalu bahawa dia ditanya oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika penamaan calon bagaimana Wan Azizah dapat membahagikan masa untuk penduduk Kajang dan Permatang Pauh.

 

Wan Azizah mengaku bahawa beliau tidak dapat menggalas tanggungjawab itu sendirian dan akan memerlukan bantuan.

 

Dalam ceramahnya malam tadi di Kampung Permatang Tengah, Wan Azizah berkata PKR tidak memandang enteng PRK Permatang Pauh.

 

Wan Azizah turut mengaku dia terasa dengan slogan yang digunakan calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin iaitu “Melakar Sejarah Baru” kerana katanya, sejarah adalah sesuatu yang tidak boleh diubah di Permatang Pauh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.