TLDM Sahkan Ada Anggotanya Disiasat Terlibat IS

LUMUT – Beberapa anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penglibatan mereka dalam kumpulan militan Negara Islam (IS).

 

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar ketika mendedahkan perkara itu berkata, anggota tersebut ditahan hasil siasatan yang dibuat pihak polis yang mendapati mereka ada kaitan dengan kumpulan militan tersebut.

 

Katanya, selain itu terdapat anggota TLDM yang ditahan kerana penglibatan mereka dalam media sosial yang cenderung dan mirip IS.

 

“Kita ada fail beberapa anggota tersebut. Apabila kita mengetahui kecenderungan mereka itu, kita tarik mereka untuk soal siasat dan kita dapatkan bantuan polis untuk melakukan siasatan dalaman.

 

“Setakat ini, kita memberikan kerjasama penuh terhadap semua permohonan PDRM untuk menyi­asat warga TLDM. Ini semua kita lakukan dengan harapan semangat IS dapat dihapuskan secara ke­seluruhan dalam organisasi ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Istiadat Perbarisan dan Mengarak Panji-Panji sempena Hari TLDM Ke-81 di Padang Kawad, KD Pelandok, Pangkalan TLDM di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, timbalannya, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli dan Panglima Bantuan Markas Pemerintahan Bantuan, Laksamana Madya Datuk Abdul Ghani Othman.

 

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pasukan tindakan khas yang ditubuhkan pada Disember tahun lalu bagi memberi penerangan khusus kepada anggota TLDM tentang kegiatan militan tersebut dan ancamannya kepada negara masih terus berjalan sehingga kini.

 

Katanya, bagi memastikan keberkesanan pendekatan itu, semua anggota diwajibkan menyertai setiap kempen, ceramah dan perjumpaan yang diadakan.

 

“Kita buat semua itu kerana mahu menentukan setiap anggota dapat diperingatkan tentang bahaya dan bagaimana untuk menjauhi masalah tersebut.

 

“Pada masa sama, TLDM juga akan bekerjasama rapat dengan PDRM dalam usaha untuk memastikan masalah itu dapat diatasi segera,” katanya.

 

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya akan membina pusat asuhan kanak-kanak di setiap pangkalan TLDM dalam usaha memberi keselesaan dan jaminan keselamatan kepada semua anggotanya untuk bekerja.

 

Kata beliau, setakat ini pusat asu­han tersebut telah dibuka di Pangkalan TLDM Lumut dan akan dibuka di Pangkalan Markas Wilayah 1 Tanjung Gelang dan Markas Wilayah Laut 2 di Kota Kinabalu.

 

“Pusat asuhan itu boleh membantu mengurangkan tekanan kepada keluarga yang suami isterinya bekerja. Dengan ini mereka boleh memberi tumpuan yang lebih terhadap kerja yang dilakukan.

 

“Lagipun sekarang ini terdapat banyak kes yang dilaporkan di pusat-pusat asuhan, jadi kita akan sentiasa mengawasi dan memantau pusat asuhan yang ditubuhkan itu bagi mengelakkan perkara tidak diingini,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.