Suhaizan Sokong Tindakan Disiplin Pada Ketua Pemuda PAS P.Pinang

Pemuda PAS Pusat akan menyokong cadangan agar ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang (DPPNPP), Mohd Yusni Mat Piah, dikenakan tindakan disiplin ekoran tindakan memboikot kempen Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

 

Ketua Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat berkata, pendirian Pemuda PAS negeri itu melanggar keputusan pimpinan parti di peringkat Pusat untuk menyokong calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam PRK itu.

 

“Timbalan presiden (Mohamad Sabu) akan membawanya dalam mesyuarat akan datang. Pemuda akan menyokong,” kata kepada The Malaysian Insider.

 

Suhaizan berkata demikian ketika mengulas cadangan agar Yusni dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin PAS ekoran kenyataannya menentang keputusan PAS Pusat yang mengarahkan agar jentera PAS membantu calon PKR di Permatang Pauh.

 
Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan (DPPK) hari ini menyatakan sokongan padu terhadap pendirian DPPNPP untuk tidak membantu gerak kerja pakatan pembangkang dalam PRK Permatang Pauh, lapor Bernama.

 

Sokongan itu disuarakan lapan ketua pemuda DPPK iaitu Wan Ahmad Rafaie Abdul Rashid (Permatang Pauh), Ahmad Taufiq Saedon (Bagan), Ahmad Fahmi Mohd (Balik Pulau), Syed Mohd Nazri Syed Ibrahim (Bukit Mertajam), Mohd Najib Hamsi (Batu Kawan), Zulazhar Mohamad (Nibong Tebal), Rizal Hafiz Roslan (Tasek Gelugor) dan Mohd Hafiz Kasim (Kepala Batas).

 

“Kami sepenuhnya memberi sokongan padu pendirian tersebut atas dasar kebersamaan kami dalam mengecam kenyataan biadab Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dan keengganan mereka memohon maaf atas kecaman mereka terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

“Adalah dipertegaskan di sini, pendirian bukanlah pendirian peribadi Yusni sahaja, malah adalah pendirian yang dibuat bersama semua exco DPPNPP.

 

“Maka, pendirian ini juga adalah pendirian bersama semua exco DPPK kami.”

 

Mohamad atau Mat Sabu, sebelum ini menyatakan, siasatan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap Yusni ekoran kenyataan beliau yang bertentangan dengan keputusan dan kenyataan yang dibuat PAS Pusat itu.

 

“Siasatan dan tindakan tegas akan diambil oleh jawatankuasa PAS Pusat terhadap ketua Pemuda PAS Pulau Pinang dalam tempoh terdekat,” kata Mat Sabu dalam satu kenyataannya.

 

Sebelum ini, Yusni dalam kenyataan medianya berkata, semua jentera dan petugas Pemuda PAS Pulau Pinang direhatkan dari semua gerak kerja sepanjang PRK Permatang Pauh.

 

“Semua bilik gerakan Pemuda tidak akan dibuka sama sekali. Mana-mana premis di bawah seliaan Pemuda juga tidak dibenarkan untuk digunakan sepanjang PRK Permatang Pauh ini,” katanya.

 

Malah, katanya, kumpulan Alternatif Riding Club (ARC) bagi aktiviti konvoi anak-anak muda atau seumpamanya, petugas keselamatan Jabatan Amal Negeri dan semua guru tadika {asti juga akan direhatkan dari bertugas dalam PRK ini.

 

“Kami juga tidak akan terlibat dengan mana-mana jemputan untuk menyertai mana-mana pentas ceramah sepanjang kempen untuk PRK Permatang Pauh,” katanya.

 

Ini berikutan desakan permohonan maaf yang disuarakan Pemuda PAS negeri itu berhubung kenyataan media Pemuda PKR Pulau Pinang yang dianggap menghina dan memfitnah Hadi tidak dilayan PKR.

 

Tempoh untuk menyatakan permohonan maaf itu kini tamat tempohnya pada hari penamaan calon, 25 April lalu.

 

Ini bukan pertama kali Yusni terlibat dengan pertelagahan dengan rakannya dalam PR.

 

Dalam pilihan raya umum lalu, beliau menjadi calon PAS dalam pertandingan tiga penjuru dengan Barisan Nasional (BN) dan PKR di kerusi DUN Sungai Acheh, Pulau Pinang.

 

Dalam pilihan raya itu, beliau hanya mendapat 690 undi berbanding calon PKR Badrul Hisham Shaharin mendapat 6,083 undi manakala calon BN Datuk Mahmud Zakaria mendapat 6,891.

 

Ekoran kenyataan Yusni, Mat Sabu berkata, keputusan menyokong dan membantu calon PKR Permatang Pauh dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang merupakan badan eksekutif tertinggi dalam organisasi PAS.

 

Mana-mana arahan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak dalam PAS yang bercanggah dengan keputusan itu adalah dengan sendirinya terbatal, katanya.

 

“Saya dengan ini menegaskan semua ahli PAS wajib menolak sebarang arahan atau pendirian yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat ini, dan sekiranya ada tindakan dari mana-mana ahli yang terbukti bertentangan dengan arahan ini, tindakan tatatertib boleh dikenakan ke atas ahli tersebut berdasarkan peruntukan-peruntukan yang jelas termaktub dalam perlembagaan,” katanya.

 

Suhaizan pula, dalam kenyataannya berkata, mesyuarat PAS Pusat pada 13 April membuat keputusan sebulat suara untuk membantu calon PR di Permatang Pauh.

 

Justeru, Pemuda PAS Malaysia mengerakkan jentera pilihanraya khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di bawah Parlimen Permatang Pauh, katanya.

 

“Mana-mana petugas Pemuda yang ingin bertugas boleh mendaftar terus di Markas Induk PAS PRK Permatang Pauh di pejabat ahli DUN Permatang Pasir dan Permatang Rambai,” katanya. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.