Peserta KE7B Pulang Ke Tanah Air Esok

Kuala Lumpur – Seramai 13 rakyat Malaysia yang mengikuti Ekspedisi Program Kayuhan Altitud Tinggi Annapurna 2015 Kelab Eksplorasi Tujuh Benua KE7B ke Nepal sedang menunggu penerbangan pulang ke tanah air.

 

Mereka akan menaiki penerbangan yang dijangka berlepas pada jam 7.30 pagi esok dari Lapangan Terbang Kathmandu.

 

Perkara itu dinyatakan oleh salah seorang peserta ekspedisi yang menggunakan nama Ajoy Yusof menerusi status terbarunya di laman Facebook.

 

Menurut Ajoy, mereka kini sudah berada di lapangan terbang berkenaan dan mungkin akan bermalam di situ sementara menunggu penerbangan yang akan membawa mereka pulang esok.

 

“Terima kasih buat semua yang bertanyakan khabar dan memberikan kata-kata semangat kepada kami. Doa kalian amat kami hargai.

 

“Terima kasih juga buat media-media Malaysia yang berterusan memberikan maklumat terkini kami kepada rakyat Malaysia,” tulis Ajoy.

 

Ekspedisi KE7B Kayuhan Altitud Tinggi Annapurna adalah sebahagian daripada latihan persiapan dan pemilihan peserta untuk projek Tanjung Piai-Everest Tibet yang dirancang pada bulan depan.

 

Projek tersebut merupakan usaha kelab berkenaan untuk mencipta rekod dunia dengan berbasikal dan mendaki bermula dari kawasan Asia Selatan hingga ke puncak gunung tertinggi dunia.

 

Seramai 13 peserta mengambil bahagian dalam latihan itu apabila mereka sepatutnya menuju ke kawasan Besishahar iaitu tempat permulaan kayuhan berbasikal dengan menggunakan bas.

 

Kesemua peserta program berlepas ke Kathmandu pada 24 April lepas dan dijadual memulakan aktiviti kayuhan bermula semalam sehingga 4 Mei depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.