Pengundi Permatang Pauh Tidak Peduli Kritikan Mahathir – TPM

Permatang Pauh – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan mengulas serangan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kerana merasakan isu tersebut tidak memberi sebarang faedah untuk pengundi di Permatang Pauh.

 

Muhyiddin ketika ditemui ketika sidang media selepas melancarkan projek naik taraf Hospital Seberang Jaya hari ini berkata apa yang penting adalah menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh pengundi.

 

 

“Itu tak apalah, tak payah beri tumpuan yang lebih dalam isu tersebut (serangan Tun Mahathir) kerana yang penting di Permatang Pauh adalah yang berkaitan ekonomi, sosial dan sebagainya kita (BN) akan jelaskan.

 

“Yang penting adalah pengundi di sini, kerana kalau disini tak timbul masalah itu buat apa kita nak sentuh soal itu (kerana) kita hanya sentuh soal-soal yang perlukan penjelasan oleh penduduk disini” katanya sebentar tadi.

 

Beliau turut menjelaskan jentera BN perlu menjelaskan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan pengundi.

 

“Di Rompin juga begitu juga, (saya) ditanya soalan yang sama tapi saya kata apa masalah di Rompin isu Felda, ekonomi, peluang pekerjaan dan saya fikir ia lebih utama yang ingin didengar oleh pengundi” ujarnya lagi.

 

Muhyiddin turut menjelaskan ketiadaan poster yang memaparkan wajah Perdana Menteri seperti yang dibangkit oleh pembangkang bukanlah satu isu besar.

 

Menurutnya bukan sahaja Najib, malah wajah beliau pun tidak ada kerana mereka tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

 

“Tidak apalah kita hendak letak gambar siapapun yang penting gambar calon.

 

“PM tidak bertanding, saya pun tidak bertanding, muka saya pun tidak ada,” katanya lagi. -SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.