PAS Tak Perlu Restu PKR Dan DAP Guna Kempen Perjelas Hudud

Rompin – PAS tidak memerlukan restu daripada rakan komponennya, PKR dan DAP, untuk menggunakan pentas kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi memberi kefahaman dan penjelasan bersabit hukum hudud kepada rakyat.

 

Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sudah menjadi tanggungjawab PAS untuk memberikan penerangan tentang hukum yang sedang diperjuangkan parti itu kepada rakyat demi mengelakkan kekeliruan.

 

“Bagi menjelaskan isu tak perlu restu dari PKR atau DAP. Isu ini menjadi tanggungjawab PAS dan orang Islam bagi mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp kepada Antarapos.

 

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada Sabtu lalu berkata PRK Rompin dan Permatang Pauh akan menjadi medan bagi PAS untuk memberi penjelasan dan kefahaman kepada orang ramai tentang hukum hudud.

 

Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata, sehingga kini hasrat parti Islam itu untuk mempromosi undang-undang syariah berkenaan ketika berkempen dalam dua PRK berkenaan tidak mendapat tentangan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

 

“Dalam dua pilihan raya kecil ini, di samping menyentuh isu CBP (Cukai Barang dan Perkhidmatan), kami mahu mempromosi hukum syarak itu. InsyaAllah,” kata Ahmad.

 

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, hudud juga sebahagian daripada agenda kempen PAS di PRK Rompin di samping isu utama iaitu bantahan terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), isu FELDA dan isu-isu tempatan.

 

“Ada disentuh. Cuma banyak isu sekarang. GST dan FGV fokus utama,” ujar beliau lagi.

 

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika diminta mengulas isu yang sama sebelum ini, enggan mengulas lanjut sebaliknya meminta pemberita bertanyakan perkara berkenaan kepada menteri besar itu sendiri.

 

“Itu kena tanya Ahmad Yakob. Saya tak keluarkan kenyataan itu, saya tak mahu komen,” kata Mohamad atau lebih dikenali dengan Mat Sabu.

 

Dalam perkembangan berlainan, Tuan Ibrahim ketika mengulas tindakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang menolak cabaran debat isu GST menyifatkan pemimpin itu sebagai ‘tidak berani’ setelah beberapa kenyataannya sering dipersenda.

 

“Beliau bukan takut, cuma tak berani sebab kenyataan beliau sebelum ini tentang GST pun jadi bahan senda gurauan anak-anak kecil,” ujar Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

 

Ujarnya, PAS akan terus mengetengahkan isu berkenaan dalam kempen bagi mendesak pembatalan cukai berkenaan oleh kerajaan persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.