Kerajaan Akan Terus Majukan Negara Biarpun Diasak – PM

KUALA LUMPUR – Walaupun diasak serta dikritik pedas oleh pelbagai pihak, Datuk Seri Najib Razak bertekad kerajaan pimpinannya akan terus berusaha memajukan rakyat dan negara.

 

Perdana Menteri berkata, beliau bersama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, barisan menteri dan anggota pentadbiran bersedia untuk meneruskan perancangan dan terus mencari jalan menabur bakti.

 

“Walau dilintang dengan seribu aral, biarpun kita sedang diasak dan dikritik, sebagai sebuah kerajaan yang telus, saya selaku Perdana Menteri, bersama-sama Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan didukung pula oleh menteri serta rakan anggota pentadbiran, tidak akan sesekali berganjak atau menyerah kalah.

 

“Malah, akan tetap beristiqamah dan berjuang merintis sejuta lagi jalan baru demi kebaktian kepada rakyat dan negara,” katanya ketika membentangkan Laporan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2014 di sini sebentar tadi.

 

Sejak akhir-akhir ini, pentadbiran Najib dikritik oleh banyak pihak, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut memintanya melepaskan jawatan.

 

Najib juga mengajak rakyat berfikir dengan matang dan tidak diselubungi emosi dalam menghakimi kerajaan dan usaha murni membangunkan negara.

 

“Tiada kalimah yang dapat menyuratkan, tiada ibarat sebagai umpama untuk melukiskan betapa pentingnya bagi kita memiliki jiwa-jiwa yang besar dalam perjuangan membangunkan tanah air,” katanya.

 

Beliau juga menegaskan selagi cita-cita murni tidak padam, kerajaan tidak akan keseorangan dan tidak hilang haluan serta pedoman.

 

“Marilah kita jauhkan segala sengketa dan mencari titik persamaan demi kemakmuran sebuah Malaysia. Yakin dan percayalah, apabila kebenaran telah memancar dan menampakkan diri kelak, akan gugurlah segala nista dan tohmahan,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.