Hudud: Lapan Ketua Pemuda PAS Kawasan Sokong Pendirian Pemuda PAS P.Pinang

BUTTERWORTH – Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan (DPPK) hari ini menyatakan sokongan padu terhadap pendirian Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang (DPPNPP) untuk tidak membantu gerak kerja pakatan pembangkang dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

 

Sokongan itu disuarakan lapan ketua pemuda DPPK iaitu Wan Ahmad Rafaie Abdul Rashid (Permatang Pauh), Ahmad Taufiq Saedon (Bagan), Ahmad Fahmi Mohd (Balik Pulau), Syed Mohd Nazri Syed Ibrahim (Bukit Mertajam), Mohd Najib Hamsi (Batu Kawan), Zulazhar Mohamad (Nibong Tebal), Rizal Hafiz Roslan (Tasek Gelugor) dan Mohd Hafiz Kasim (Kepala Batas).

 

“Kami sepenuhnya memberi sokongan padu pendirian tersebut atas dasar kebersamaan kami dalam mengecam kenyataan biadab Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dan keengganan mereka memohon maaf atas kecaman mereka terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

“Adalah dipertegaskan di sini bahawa, pendirian DPPNPP bukanlah pendirian peribadi ketua pemudanya (Mohd Yusni Mat Piah) sahaja, malah adalah pendirian yang dibuat bersama semua exco DPPNPP.

 

“Maka, pendirian ini juga adalah pendirian bersama semua Exco DPPK kami,” kata mereka dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Semalam, Mohd Yusni dalam kenyataan medianya bertegas tidak akan membantu gerak kerja pakatan pembangkang dalam PRK Parlimen Permatang Pauh.

 

Beliau berkata keputusan itu diambil selepas AMK Pulau Pinang masih enggan memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan yang didakwa memfitnah Abdul Hadi, walaupun diberi tempoh sehingga semalam.

 

Menurut kenyataan itu, mereka turut melahirkan rasa kecewa terhadap Ketua Pemuda PAS pusat Suhaizan Kaiat yang dilihat tidak budiman dalam menguruskan isu berkenaan.

 

Mereka berkata sebagai anak muda di Pulau Pinang, mereka sentiasa berdiri teguh menunjangi kepimpinan ulama yang dikemudi Abdul Hadi dalam menegak cita-cita mendaulatkan Islam di negara ini.

 

Kemelut yang melanda kempen pakatan pembangkang sebelum ini dianggap selesai selepas Presiden PKR yang juga calon parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadakan pertemuan dengan PAS Permatang Pauh dua hari lepas.

 

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan semalam menyifatkan kemelut itu sudah selesai dan tidak lagi timbul isu permohonan maaf yang dituntut sebelum ini. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.