Hina Islam: Alvin Macam Sampah, Kata Senator

KUALA LUMPUR –  Seorang senator hari ini menyifatkan blogger kontroversi Alvin Tan sebagai ‘sampah’ di negara ini kerana sering‎ melakukan tindakan provokasi yang didakwanya menghina Islam.

 

Senator Koh Chin Han berkata, sebagai seorang bukan Muslim, beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan blogger itu kerana perbuatan itu dianggap trustmemalukan golongan bukan Islam lain.

 

“Kalau beliau berada di negara kita, memang patutlah dihadap ke mahkamah untuk didakwa dengan Akta Hasutan. Kita tak dapat menampung ‘sampah’ seperti Alvin ini di negara kita.

 

“Tetapi apa boleh kita buat, kita serahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil tindakan selanjutnya ke atas Alvin,” katanya ketika membahaskan  Rang Undang-undang Hasutan (Pindaan) 2015 pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Senator Datuk Lim Nget Yoon yang mencelah perbahasan itu berkata, kerajaan sepatutnya tidak lagi boleh bertolak ansur terhadap tindakan-tindakan  provokasi‎ Alvin.

 

“Setuju atau tidak dengan pandangan saya, kalau Alvin didakwa di bawah Akta Hasutan, jadi tidak timbul keadaan seperti ini … dia lari, dia cabar kerajaan, ‘catch me if you can’ (tangkap saya kalau anda boleh).

 

“Ini memang satu kejadian yang kita tidak boleh tolak ansur. Saya minta kerajaan buat sessuatu tentang dia,” katanya lagi.    ‎

 

Terdahulu, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membangkitkan persoalan tentang status rakyat negara ini yang melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan, ketika berada di luar negara.

 

“Saya memohon penjelasan sekiranya dia berada di luar negara, tetapi burukkan, busukkan pimpinan Yang di-Pertuan Agong, bagaimana pula statusnya?,” katanya.

 
Asyraf dalam pada itu menolak dakwaan media asing bahawa negara ini melakukan diskrimimasi melalui Akta Hasutan.

“Kalau kita lihat macam Thailand … dia mempunyai akta yang begitu keras yang dikenakan kepada mereka yang menghina sensitiviti mereka termasuk institusi raja  Thailand,” katanya.

 

Beliau berkata terdapat satu kes seorang warga asing dipenjara selama 10 tahun kerana menconteng poster Raja Thailand.

 

Terdahulu, Dewan meluluskan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015, Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2015.

 

Persidangan dewan bersambung esok. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.