GTP, ETP Bukan Inisiatif Syok Sendiri – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menegaskan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bukan inisiatif syok sendiri, sebaliknya bagi menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi.

 

Perdana Menteri berkata, perencanaan program sejak lima tahun lalu itu adalah berdasarkan maklum balas dan melalui proses berunding dengan pelbagai lapisan rakyat. “Usaha ini antara bukti kerajaan tidak berwenang-wenang duduk bersimpuh.

 

Dalam bahasa mudah budak-budak muda sekarang, apa yang kerajaan sedang buat kini, bukanlah sesuatu yang syok sendiri.

 

“Inilah asas kepada kepemimpinan saya. Pembabitan dan pemahaman kepada keperluan rakyat menjadi panduan paling utama dalam menyampaikan program terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia.

 

“Bak kata orang, kita bukan beromong-omong kosong, bukan pula saudagar-saudagar yang menjual mimpi, tidak juga bercakap hal yang bohong-bohongan.

 

Pokoknya, kerajaan yang ada pada hari ini, adalah kerajaan berpijak di bumi yang nyata dan berpasak kepada realiti,” katanya ketika membentangkan laporan GTP dan ETP 2014, di sini malam tadi.

 

Najib juga menegaskan laporan itu adalah kisah benar pencapaian program transformasi yang disokong dan diperkukuhkan menerusi fakta, data dan nombor-nombor yang sahih.

 

“Kita bukan mereka-reka segala angka dan digit, mahupun indeks kejayaan yang diraih, tidak pula sekali-kali memetiknya dari awan yang sedang berarak, jauh sekali daripada langit yang sedang membiru,” katanya.

 

Beliau berkata, ia juga diiktiraf oleh pelbagai pihak, sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa serta disahkan dan diperakui oleh juruaudit bertauliah.  – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.