Calon BN Permatang Pauh Gempur Kubu PKR

Bukit Mertajam – Masuk hari ke empat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, Calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin terus mendekati pengundi akar umbi dengan turun padang termasuk di kawasan kubu pakatan rakyat.

 

Suhaimi yang ditemui selepas mendekati peniaga dan orang ramai di Pasar Awam Sama Gagah di sini, berkata beliau yakin dengan sokongan penduduk Permatang Pauh termasuk pengundi Cina.

 

“Sehingga hari ini saya sudah mendekati lebih kurang 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi Cina di kawasan Permatang Pauh terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya.

 

“Penerimaan pengundi semakin baik dan saya berharap momentum ini akan berkekalan hingga ke hari mengundi,” katanya.

 

Beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong turut meluangkan masa hampir satu jam beramah mesra dengan orang ramai di pasar awam berkenaan.

 

PRK Permatang Pauh akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Salleh Isahak (Bebas) dan Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia).

 

PRK ini diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

 

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.