Amelina Tidak Pernah Menyesal

Kuala Lumpur – Kemunculan semulanya ke persada seni selepas 15 tahun menyepikan diri sememangnya mendapat respons yang pelbagai daripada peminat muzik tempatan.

 

Namun, sudah menjadi adat resam dunia. Ada yang suka dan begitu juga dengan sebaliknya dengan tindakan Amelina yang pernah meledakkan industri muzik tempatan dengan irama dangdut sehingga pernah diberi jolokan Ratu Dangdut ini.

 

Akan tetapi, bagi empunya diri, dia mahu melihat kemunculan semulanya itu sebagai sesuatu yang membawa ke arah yang lebih positif untuk dirinya dan juga enam orang anaknya.

 

Malahan, penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Rindu dan Asyik ini cukup sedar ada yang mempersoalkan kembalinya ke gelanggang seni dengan pelbagai konotasi negatif.

 

“Saya sendiri tidak faham mengapa sesetengah daripada mereka ini suka berfikiran negatif tanpa memikirkan implikasi yang berlaku. Sedih juga apabila melihat komen-komen yang ada kalanya menghiris hati saya sehingga saya mahu berdebat dengan mereka.

 

“Namun, selepas difikirkan semula, saya enggan memikirkan soal itu kerana bagi saya ia tidak berfaedah. Selagi bernama manusia, selagi itu mereka akan bercakap tanpa henti.

 

“Fokus utama saya kini adalah untuk terus mencari rezeki yang halal bagi menampung kehidupan saya dan anak-anak selain mahu memberikan yang terbaik kepada peminat yang tidak henti menyokong dari dulu hingga ke hari ini,” jelas Amelina penuh luhur ketika ditemui pada sidang media program Aku Yang Masak Kau Yang Panas di Damansara, dekat sini baru-baru ini.

 

Ketika ditanya tentang penerimaan masyarakat dan penerimaan terhadap dirinya selepas membuat kemunculan semula lebih kurang empat bulan yang lalu, nada suara Amelina kembali bersemangat untuk berkongsi cerita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.