ADUN PAS Tak Bertanggungjawab Batal Konsert Saat Akhir, Kata Pemimpin DAP

Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming hari ini mengutus surat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang Noor Hanim Ismail, menyifatkan tindakannya yang membantah konsert ‘Thirst: We are Stardust’ sehingga ia dibatalkan, sebagai tidak bertanggungjawab.

 

Kesal dengan tindakan wakil rakyat PAS itu, Ong mendakwa, Hanim sengaja tidak memberikan salinan surat bantahan rasminya kepada Exco Pelancongan Selangor, Elizabeth Wong dan Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

 

Katanya, ia juga mendedahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kepada risiko saman oleh penganjur terbabit akibat pembatalan saat akhir konsert yang dijadual diadakan di Mines International Exhibition and Convention Center (MIECC), Seri Kembangan, pada 25 April lalu.

 

“Acara ini akan berlangsung di kawasan DUN Seri Kembangan dan kawasan Parlimen Serdang dan bukan di kawasan Seri Serdang.

 

“Sekurang-kurangnya, dari segi tatatertib, salinan bantahan ini patut diberikan kepada wakil rakyat kawasan di mana acara ini berlangsung, iaitu pejabat saya dan pejabat Adun Seri Kembangan, Ean Yong.

 

“Salinan surat bantahan itu diberikan kepada menteri besar dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi tetapi tidak diberikan kepada Wong, exco pelancongan yang bertanggungjawab untuk mempromosikan negeri Selangor sebagai sebuah destinasi pelancongan.

 

“Juga tidak diberi kepada Ean Yong, exco kerajaan tempatan yang bertanggungjawab untuk garis panduan acara seperti ini yang dianjurkan di Selangor,” kata Ong dalam suratnya kepada Hanim, menjelaskan kenapa beliau menganggap tindakan itu tidak bertanggungjawab.

 

“Ada kemungkinan pihak penganjur akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak MPSJ atas keputusan menarik balik permit hiburan pada saat akhir.

 

“Jikalau MPSJ perlu membayar pampasan akibat daripada tindakan mahkamah, ini akan membazirkan dana yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan penduduk di kawasan MPSJ,” kata Ong.

 

Dua sebab itu adalah sebahagian daripada 7 perkara yang disenaraikan Ong dalam surat protes itu kepada Hanim yang semalam mengaku mengutus surat kepada MPSJ membantah konsert itu atas alasan mengelak penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang sewaktu konsert.

 

Dalam surat bantahannya sebelum ini, Hanim turut mendakwa, penganjur Thirst 2015 adalah pihak yang sama terlibat dalam penganjuran konsert di Bukit Jalil tahun lepas yang menyebabkan 6 orang maut akibat pengambilan dadah.

 

Menurut Ong, dakwaan itu tidak benar.

 

“Enam orang yang maut di konsert di Bukit Jalil pada tahun 2014 bukan semuanya orang Melayu, tetapi termasuk orang Cina dan orang India.

 

“Penganjur Future Music Festival Asia (FMFA) yang berlangsung di Bukit Jalil adalah Livescape manakala penganjur konsert Thirst ialah Future Sound Asia Sdn Bhd.

 

“Penganjur ini membatalkan konsert Thirst 2014 di SIC Sepang oleh kerana kejadian yang berlaku di Stadium Bukit Jalil dan bukan kerana mereka disenaraihitamkan oleh Majlis Perbandaran Sepang,” Ong menjelaskan dalam suratnya kepada Hanim.

 

Katanya, penganjur konsert itu juga bersetuju dengan syarat pihak berkuasa tempatan yang menetapkan pengunjung dihadkan kepada mereka yang bukan beragama Islam dan berumur 18 tahun ke atas sahaja.

 

Pembatalan itu sekaligus kata Ong, memburukkan nama Pakatan Rakyat (PR) di kalangan pengundi bukan Melayu.

 

“Pembatalan konsert Thirst pada saat yang akhir ini juga memburukkan nama negeri Selangor sebagai satu tempat di mana acara hiburan boleh berlangsung secara selamat dan aman.

 

“Nama baik kerajaan PR juga diburukkan dan pihak BN akan menggunakan pembatalan konsert ini sebagai senjata mengecam dan menyerang kami, terutamanya di kalangan pengundi bukan Melayu,” kata Ong kepada Hanim.

 

Hanim semalam mengaku mengutus surat bantahan rasmi kepada MPSJ sehari sebelum konsert itu dijadualkan berlangsung.

 

Surat itu ditujukan kepada Yang Dipertua MPSJ Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan salinannya kepada Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

 

Pembatalan pada saat terakhir itu menimbulkan bantahan daripada peminat muzik dan membuatkan Ong mengeluarkan kenyataan mengatakan polis yang menghentikan acara itu dengan menarik balik sokongan mereka.

 

Tindakan polis itu katanya menyebabkan MPSJ menarik balik permit hiburan yang sudah pun dikeluarkan kepada pihak penganjur.

 

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razimi Ahmad kemudiannya menjelaskan, polis membuat keputusan tidak menyokong setelah menerima bantahan dan maklumat pada 23 April dari masyarakat serta satu pejabat Adun. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.