12 Militan IS Ditahan: Polis Kerjasama Dengan Risikan Serantau

Kuala Lumpur – Siasatan ke atas tahanan IS ala ‘Dirty Dozen’ kini diluaskan kepada jaringan sosial dan akaun bank mereka untuk melihat sejauh mana aktiviti mereka tersebar.

 

Satu langkah serta merta dibuat untuk bekerjasama dengan rakan risikan serantau untuk mengenalpasti sama ada kesemua 12 anggota itu mempunyai rangkaian dengan negara jiran.

 

Polis turut mengesahkan bahawa semua yang ditahan dalam operasi berasingan di Hutan Lipur Gunung Nuang, Hulu Langat pada Sabtu lalu, walaupun daripada latar belakang berbeza, bertemu di rangkaian media sosial Facebook dan memulakan hubungan dari situ.

 

Serbuan dibuat selepas polis mengenalpasti kumpulan berkenaan merancang beberapa serangan di beberapa tempat di bandar, termasuk balai polis.

 

Antara serangan yang dirancang termasuk menggunakan bahan letupan dan motifnya adalah membalas atas penahanan suspek militan IS di negara ini.

 

Sumber risikan berkata, pihak berkuasa Malaysia sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi memastikan tiada serangan militan berlaku.

 

“IS kini memasuki fasa kedua di mana khalifahnya meminta semua penyokong yang bersimpati dengan IS di seluruh dunia untuk melakukan serangan di negara masing-masing, terutama di negara yang tidak mempraktikkan ajaran Islam,” kata sumber.

 

“Dan nampaknya ada individu di Malaysia yang mahu menurut permintaan itu.”

 

Sumber menambah walaupun terdapat usaha untuk menutup akaun Facebook yang disyaki mempromosikan ideologi IS, akan ada laman baru yang dibina.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata, 12 suspek itu didapati belajar membuat bahan letupan dengan mencari caranya di enjin pencarian Google.

 

Apabila ditanya usaha yang telah diambil untuk memastikan tiada lagi individu yang cuba meniru kumpulan ini, sumber kata tidak banyak yang polis boleh lakukan kecuali memantau laman yang diakses oleh suspek militan.

 

“Kita tidak boleh melarang mereka daripada masuk ke laman-laman ini. Jadi, kami akan terus memantau dan mengumpul bahan bukti terhadap mereka yang menunjukkan minat dalam pergerakan dan aktiviti IS.

 

Di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), kami mempunyai 29 hari untuk menyiasat dan mengumpul sebanyak mungkin maklumat ke atas 12 suspek itu.

 

“Kami tidak menolak sebarang sudut siasatan di mana ahli keluarga dan sahabat mereka akan turut disiasat.

 

“Kami percaya ada lebih ramai lagi yang terlibat dalam kumpulan yang sama.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.