KUALA LUMPUR – Dua pengawal peribadi yang dipukul majikan kerana berpuasa empat tahun lalu, bersyukur selepas bekas majikannya dihukum penjara dan denda di Mahkamah Majistret, hari ini.
Kedua-dua pengawal peribadi Mohd Azminizam Zulkepli, 48, dan Ahmad Shamsuri Zailani, 31 ditemui di luar mahkamah selepas prosiding selesai.
Azminizam berkata, dia sehingga kini masih trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya ketika berpuasa pada 2021.
“Niat saya adalah untuk menyempurnakan ibadah Ramadan namun sebaliknya dihina dan dicederakan majikan ketika itu.
“Alhamdulillah, doa saya dan keluarga dimakbulkan Allah apatah lagi keputusan mahkamah ini juga pada bulan puasa,” katanya lapor BH di Klang.
Katanya, tugas pengawal peribadi adalah menjaga majikan dan bukannya dipukul atau dihina.
Sementara itu, Shamsuri berkata, penat lelah ke mahkamah selama empat tahun berbaloi dengan keputusan berkenaan.
“Ia adalah keadilan buat kami dan perjuangan kami selama ini tidak hanya sia-sia. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang terus menyokong dan mendoakan kami,” katanya.
Tertuduh yang juga seorang ahli perniagaan dipenjara enam tahun 10 bulan dan didenda RM22,000 kerana menghina, mengugut dan mencederakan pengawal peribadinya kerana berpuasa, empat tahun lalu.
Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Chung Chee Yang, 47, disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan terhadapnya di sini pada 2021.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa mendatangkan ketakutan jenayah iaitu ugutan mahu menyebabkan kecederaan parah dengan mengacukan pistol ke arah Mohd Azminizam.
Chee Yang turut didakwa mengeluarkan perkataan mengaitkan Allah dan puasa dengan niat melukakan perasaan yang didengar oleh Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam di luar sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi di sini, antara jam 9.30 hingga 10.30 malam, 13 April 2021.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506, 298 dan 323 Kanun Keseksaan.