Najib: Kerajaan Tak Ganggu Mahupun Mempengaruhi SPR

Datuk Seri Najib Razak berkata perubahan yang disyorkan dalam kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya akan membolehkan wakil rakyat menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan di kawasan masing-masing.

Perdana menteri berkata ia memberi kelebihan kepada wakil rakyat untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan masing-masing.

“(Ia) sekali gus menafikan persepsi dan dakwaan yang tidak benar dan tidak berasas bahawa syor-syor ini hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja,” katanya ketika membentangkan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Dewan Rakyat hari ini.

Perubahan yang disyorkan dalam kajian semula itu disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya merangkumi Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan keluasan kira-kira 132,000 kilometer persegi.

Najib menarik perhatian bahawa SPR mengesyorkan tiada perubahan ke atas bilangan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedia ada namun mengesyorkan pindaan nama ke atas 12 kawasan Parlimen dan 28 DUN.

Perdana Menteri berkata berdasarkan kajian SPR, pembahagian bilangan pemilih berdaftar yang sama rata bagi setiap kawasan Parlimen dan DUN sukar dilaksana kerana kewujudan kawasan-kawasan luar bandar yang keadaan topografi serta demografinya berbeza antara satu sama lain.

Katanya, ini secara tidak langsung, telah mewujudkan kekangan-kekangan dari segi jalan perhubungan dan pengangkutan.

“Hal demikian menyebabkan penumpuan penduduk di kawasan bandar adalah jauh lebih tinggi, berbanding penduduk di kawasan luar bandar.

Sungguhpun demikian, saya difahamkan, SPR sedaya upaya berusaha untuk meringankan beban wakil-wakil rakyat, khususnya di kawasan-kawasan dengan kemudahan perhubungan dan pengangkutan yang terhad,” katanya.

Najib berkata beliau dimaklumkan terdapat syor-syor yang dicadangkan SPR tidak dipersetujui oleh beberapa pihak, termasuk pihak kerajaan sendiri.

Najib turut menegaskan, kerajaan tidak mengganggu mahupun mempengaruhi SPR dalam melaksanakan tugasnya, malah sentiasa menghormati keputusan suruhanjaya itu untuk kebaikan semua, demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, kajian semula persempadanan itu telah dilaksanakan sepenuhnya berlandaskan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru pihak kerajaan tidak mencadangkan apa-apa perubahan dibuat pada laporan itu.

Mengulas lanjut, perdana menteri berkata urusan kajian semula persempadanan itu dibuat SPR memandangkan lat tempoh lapan tahun telah berlalu, selaras dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.

“Kali terakhir urusan kajian semula persempadanan diluluskan adalah pada tahun 2003, yang mana bahagian-bahagian pilihan raya yang diluluskan pada masa itu, telah digunakan dalam tiga siri Pilihan Raya Umum iaitu PRU Ke-11 pada tahun 2004, PRU Ke-12 pada tahun 2008 dan PRU Ke-13 pada tahun 2013,” katanya.

Najib berkata urusan kajian semula itu dilaksanakan dengan mengguna pakai daftar pemilih yang diperakui dan diwartakan pada 13 Mei 2016 dan 6 Sept 2016 dengan jumlah pemilih berdaftar di Semenanjung Malaysia termasuk wilayah-wilayah persekutuan seramai 11,379,352 orang.

Beliau berkata ia peningkatan 36 peratus atau kira-kira tiga juta orang berbanding urusan kajian semula persempadanan yang terakhir pada 2003 yang mengguna pakai daftar pemilih disahkan pada 27 Dis 2001 iaitu seramai 8,347,107 pemilih.

Jelasnya, urusan kajian semula persempadanan kali ini yang dimulakan pada 15 Sept 2016 telah melalui proses notis persempadanan, pameran syor, representasi bantahan dan siasatan tempatan bagi kali pertama serta kali kedua.

Katanya, SPR telah menerima sebanyak 1,685 representasi dan 600 daripadanya telah diadakan siasatan tempatan.

Najib turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang terlibat dalam menjalankan kajian semula tersebut termasuk seluruh kakitangan SPR, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan polis serta ketua jabatan dan agensi berkaitan di semua negeri.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.