Peserta #KitaLawan Petang Ini Dijangka Kurang Dari Seribu Orang

Kuala Lumpur – Perhimpunan anjuran #KitaLawan yang diadakan petang ini, dijangka kurang mendapat semabutan seperti yang diharapkan.

 

Menurut sumber SuaraTV ketika dihubungi, pihak penganjur dikatakan gagal mengadakan promosi yang meluas bagi menarik minat masyarakat untuk turun beramai-ramai.

 

“Penganjur gagal mengadakan promosi seperti yang diharapkan, malah ada yang dikatakan tidak mendapat maklumat mengenai pergerakan yang diatur.

 

“Keadaan cuaca yang agak panas pada ketika ini, juga merupakan antara faktor mengapa orang ramai tidak mahu turun seperti sebelumnya” ujarnya kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Sokongan dan momentum rakyat terhadap pakatan pembangkang dilihat semakin menurun semenjak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh setelah mahkamah mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

 

Malah pertelagahan antara kepimpinan Dap, Pas dan juga PKR turut dilihat antara penyumbang penurunan sokongan itu.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini memberi amaran, pihak polis akan menangkap mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan beramai-ramai anjuran #KitaLawan jika ia menjadi kelam-kabut.

 

 

Sambil menyeru perhimpunan itu dibatalkan, IGP juga mendakwa berapa laporan dibuat orang awam mendakwa siri perhimpunan #KitaLawan mengganggu ketenteraman awam.

 

 

“Jika kami rasa ia akan menjadi kelam-kabut, kami akan ambil tindakan, jika anda ingin menganjurkan perhimpunan, boleh bukannya tak boleh. Tetapi anda mesti mematuhi undang-undang,” katanya.

 

 

“Ingat negara ini ada undang-undang dan polis. Jika tidak bertindak… Anda boleh fikir sendiri,” tambahnya.

 

 

Sementara itu DAP dalam satu kenyataan sebelum ini berkata tidak akan mengambil bahagian dalam Himpunan #KitaLawan yang diadakan itu.

 

 

Menurut Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke parti itu tidak pernah mengarahkan ahlinya menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh PKR.

 

 

Perhimpunan #KitaLawan diadakan untuk menyatakan sokongan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 

 

“Kami tidak terlibat dalam program itu. Kami bukanlah pihak penganjur. Butiran lanjut mengenai program tersebut juga kami tiada,” kata Loke kepada The Star Online ketika dihubungi petang tadi.

 

 

 

Kali pertama Himpunan #KitaLawan diadakan pada 7 Mac lalu di luar pusat beli-belah Sogo, di Kuala Lumpur.

 

 

Perhimpunan yang diadakan petang ini dijangka kecoh apabila penganjur mendakwa akan mengganggu majlis resepsi anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.