‘Keluar PR Kerana Bantah Hudud Hanya Alasan’

KUALA LUMPUR – Tindakan DAP Sarawak mengaitkan pelaksanaan hudud dengan keputusannya keluar daripada pakatan pembangkang hari ini adalah alasan semata-mata.

 

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, DAP Sarawak keluar PR hanya demi menjaga kepentingan politiknya menjelang pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

 

“DAP Sarawak nak keluar PR, keluarlah. Tidak ada masalah. Dalam PR tidak ada perjanjian bertulis yang mengikat mana-mana anggota. Jadi, dia bebas. Kalau rasa nak keluar, dia boleh keluar. Tidak ada masalah. Tidak ada orang boleh sekat.

 

“Cuma alasan dia buat itu, saja-sajalah…kaitkan hudud di Sarawak apa pula kan?  Wakil rakyat Pas seorang pun tidak ada di Sarawak,” katanya kepada Sinar Online.

 

Hari ini, DAP Sarawak mengumumkan keluar dari pakatan pembangkang berkuatkuasa serta merta susulan tindakan Pas yang bertegas untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

 

Dalam pada itu, Mustafa menyifatkan tindakan DAP itu hanya mengulang sejarah sama pada 2001 apabila parti itu keluar Barisan Alternatif menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

 

“Dia ambil keputusan keluar ini sama macam tahun 2001. DAP pernah keluar Barisan Alternatif sebab menjelang pilihan raya negeri Sarawak. Sebab dia rasa, jika bersama Pas mungkin orang tak sokong dia (DAP)… menang tak banyak.

 

“Maknanya, kepentingan politik pilihan raya Sarawak itu yang sebenarnya alasan mereka keluar.

 

“Tak perlulah gunakan hudud sebagai alasan. Alasan ini digunakan supaya orang tidak nampak tindakan itu berkait dengan tujuan sebenar mereka. Sebab itu gunakan alasan hudud,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.