Kanak-Kanak 23 Bulan Ditemui Dalam Hutan

TENOM – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 11 bulan bukan hanya hilang lebih 18 jam tetapi terpaksa bermalam di dalam hutan bersendirian di Kampung Kuala Tolokoson, Kemabong di sini.

 

Tanpa bekalan makanan dan minuman, kanak-kanak itu, Healezry Zeandfly ketika ditemui oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Tenom kira-kira pukul 10.25 pagi ini berada dalam keadaan menggigil selain menangis kerana ketakutan.

 

Malah, ketika ditemui Healezry yang hanya memakai singlet dan seluar pendek itu duduk beralaskan semak samun sambil menangis selain luka di sebelah kanan di bawah mata dan belakang badan dipercayai akibat gigitan semut.

 

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tenom, Aziz Ajap ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kehilangan kanak-kanak itu pada pukul 8.13 malam tadi.

 

Kata beliau, siasatan awal mendapati, ‘kehilangan’ Healezry berpunca apabila ibunya, Moina Barahin, 27, melarang kanak-kanak itu untuk mengikutinya masuk ke tandas.

 

“Bagaimanapun, sebaik sahaja keluar tandas, ibu mangsa mendapati anaknya tiada di dalam rumah dan terdapat jiran mangsa melihat kanak-kanak itu keluar dari rumah mereka,” katanya.

 

Tambah Aziz, bertindak atas maklumat itu, pihaknya menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sekitar kawasan dengan jarak dua kilometer.

 

Bagaimanapun, katanya, pasukan operasi seramai 18 pegawai dan anggota termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang kampung terpaksa dihentikan pada pukul 11.48 malam atas faktor keselamatan.

 

“Hari ini, kita memulakan semula operasi mencari seawal pukul 7 pagi dengan mengecilkan jarak kepada 300 meter.

 

“Ketika operasi dijalankan pasukan kami terdengar suara tangisan dan apabila mendekati hanya ternam­pak kepala mangsa sahaja di celah semak samun,” katanya.

 

Aziz berkata, lokasi kampung tersebut adalah 36 kilometer dari pekan Tenom dan merupakan kawasan kebun serta hutan selain berhampiran dengan Sungai Padas. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.