China Harap Dagangan Dua Hala Dengan Malaysia Terus Meningkat

Boao (China) – China berharap perdagangan dua hala dengan Malaysia akan terus meningkat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

“Perdagangan dua hala berkembang kira-kira lapan peratus setahun sekarang dan Presiden China Xi Jinping berharap angka ini dapat ditingkatkan lagi,” kata beliau.

 

Najib berkata demikian selepas mesyuarat dua hala bersama Xi di sini pada Jumaat.

 

Mesyuarat dua hala berkenaan merupakan yang keempat bagi kedua-dua pemimpin.

 

Antara lain, kedua-dua negara menetapkan sasaran perdagangan dua hala sebanyak US$160 bilion menjelang 2017.

 

Tahun lepas, jumlah dagangan antara Malaysia dan China ialah sebanyak US$102 bilion.

 

Semasa pertemuan 45 minit itu, Najib berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden Xi kerana memilih Bank of China sebagai bank penjelasan Reminbi bagi Malaysia, yang akan mengembangkan lagi perdagangan Malaysia dan China.

 

“Ia akan membolehkan kita menggunakan Reminbi dan Ringgit dalam perdagangan dua hala,” kata Perdana Menteri.

 

Pengumuman mengenai kemudahan Reminbi akan dibuat bulan depan.

 

Najib, yang kini berada di sini bagi lawatan kerja selama dua hari berkata China mengulangi minatnya terhadap projek kereta api laju Malaysia.

 

“Saya memaklumkan kepada mereka bahawa projek tersebut akan dijalankan melalui tender antarabangsa dan pakej terbaik yang akan dipilih,” kata beliau.

 

Perdana Menteri tiba di sini Jumaat petang, untuk menghadiri Forum Boao Untuk Asia 2015 (BFA).

 

Ini merupakan lawatan rasmi kelima Najib ke China selaku perdana menteri tetapi pertama kali hadir ke forum ini, yang diilhamkan selepas forum tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

 

BFA mempunyai alamat tetap di Boao, bandar yang terletak dekat dengan bandar raya Qionghai yang terletak di kawasan pantai utara Hainan, China.

 

Diadakan sejak 2002, tema BFA tahun ini adalah ‘Masa Depan Baharu Asia: Ke Arah Masyarakat Hala Tuju Bersama”.

 

Najib, yang juga Menteri Kewangan, dijadual menyampaikan ucapan pada Pembukaan Sesi Pleno BFA pada Sabtu.

 

Sesi itu akan dirasmikan oleh Xi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.