KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tampil memperjelas kritikan berkaitan pelaburan yang diluluskan RM329.5 bilion kononnya hanya sekadar pengumuman.
Beliau membidas komen-komen negatif yang mendakwa pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bukan penentu RM329.5 bilion itu sudah masuk ke Malaysia.
“Perdana Menteri umum pelaburan yang diluluskan adalah tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM329.5 bilion- komen yang kita terima kebanyakan berkata Allah, ni baru umum je 1 sen pun belum masuk Malaysia lagi.
“Saya rasa ramai orang kita ni suka baca tajuk video saja tak tengok pun video yang saya post. Sebenarnya lebih 85 peratus projek perkilangan yang diluluskan pada 2021 dan 2022 telah dilaksanakan manakala 50.1 peratus projek yang diluluskan pada tahun 2023 telah dilaksanakan.
“Ini satu prestasi yang memberangsangkan. Tapi di ruang komen yang sama orang tanya banyak mana pelaburan yang telah dilaksanakan? katanya dalam video pendek di Facebook.
Menteri MITI itu menjelaskan, projek perkilangan akan ambil masa 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan bergantung kepada tahap kompleksiti sesuatu projek.
“Ya lah ya kalau pelaburan tu lulus bukan esok dah boleh buka kilang. Nak kena beli tanah, nak kena bina kilang, nak beli lagi dan pasang peralatan yang kompleks dan juga besar.
“Tapi ada beberapa syarikat yang berjaya siapkan projek dalam tempoh kurang daripada 18 bulan seperti Enovix, Ferro Tec dan juga Ultra Clean Technology,” ujar Tengku Zafrul.
Menurut beliau, kesimpulannya pelaburan yang diluluskan telah pun nampak hasilnya 85 peratus pelaksanaan bagi projek pada 2021 hingga 2022 manakala 50 peratus pelaksanaan untuk projek 2023.
Beliau malah menyatakan MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mempercepatkan kadar pelaksanaannya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menegaskan pengumuman tentang pelaburan diluluskan ini sebenarnya diamalkan oleh kerajaan sejak dahulu.
“Tak kisahlah BN ke, PN ke, PH ke, sehinggalah Kerajaan Madani sekarang.
“Maksudnya kaedah ini memang diterima pakai untuk umumkan pelaburan.
“Jadi, bila kerajaan umumkan pelaburan diluluskan RM329.5 bilion, yang tertinggi dalam sejarah, agak pelik bila pihak yang pernah jadi sebahagian kerajaan dahulu tiba-tiba nak kritik pasal pelaburan diluluskan.
“Sedangkan masa pelaburan diluluskan diumumkan dahulu, mereka senyap je, sepatah pun tak kritik.
“Okey je nak kritik, tapi tak payahlah nak cipta naratif palsu seolah-olah pelaburan diluluskan ni tak pernah diumumkan kerajaan sebelum ni,” tempelak Tengku Zafrul.