Tiga Lelaki Bersenjata Ditembak Mati Di Sabah Dipercayai Pengganas – Polis

TAWAU – Tiga lelaki bersenjata yang ditembak mati polis di kawasan ladang di Batu 2 Jalan Kalabakan-Keningau dekat sini petang semalam dipercayai daripada kumpulan pengganas yang terancang.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) Datuk Hazani Ghazali berkata perkara itu berdasarkan pergerakan taktikal ketiga-tiga suspek ketika melarikan diri serta berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian 3.20 petang.

“Kita belum kenal pasti mereka ini daripada kumpulan pengganas mana tetapi berdasarkan senjata api yang digunakan kita percaya mereka kumpulan terlatih, dan kita dalam proses untuk mengetahui mereka ini daripada kumpulan mana.

“Kita juga siasat sama ada ini adalah kumpulan sama yang cuba menghidupkan sel atau pangkalan Daish di Sabah seperti kenyataan Ketua Polis Negara sebelum ini mengenai cita-cita Daish untuk menubuhkan pangkalan Daish di negeri ini.” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga dalam proses menghantar gambar-gambar dan cap jari ketiga-tiga suspek kepada pasukan keselamatan di negara jiran dan polis antarabangsa (Interpol).

“Setakat ini kita belum mengenal pasti identiti ketiga-tiga suspek dan mereka ini tidak berada dalam senarai dikehendaki ESSCom sebelum ini ,” katanya turut percaya terdapat rakan suspek yang masih berada di negeri ini.

Selain itu, Hazani berkata pihaknya turut menyiasat bagaimana senjata api yang digunakan suspek masuk ke negeri ini sama ada melalui jalan tikus di Jalan Kalabakan-Keningau atau jalan laut.

“Peluru yang dirampas dalam kejadian ini adalah dari pelbagai negara jiran dan jika dilihat pada senjata revolver ini terdapat sedikit pengubahsuaian tetapi perkara ini akan disahkan,” katanya.

Semalam, polis menembak mati tiga suspek di sebuah ladang di Batu 2 Jalan Kalabakan-Keningau dekat sini pada jam 3.20 petang.

Polis turut merampas kereta Perodua Kancil yang pernah dilaporkan hilang di Kota Kinabalu, sepucuk revolver mengandungi empat peluru hidup 3.8, sepucuk rifle M4 Colt456 mengandungi dua butir peluru, sebilah pedang samurai, beg hitam mengandungi sembilan butir peluru hidup 3.8, serta dua paket plastik dipercayai dadah.

Sementara itu, katanya pelaksanaan Road Check Point (RCP) yang melibatkan gabungan pasukan keselamatan seperti polis dan Angkatan Tentera Malaysia di Kalabakan di Tawau serta Telupid akan disegerakan.

“Jalan Kalabakan-Sapulut, Keningau menghubungkan Pantai Timur Sabah, Pantai Barat Sabah dan Pedalaman Sabah dan kita percaya ini laluan yang digunakan penjenayah rentas sempadan termasuk untuk menyeludup,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.