CIMB Catat Keuntungan Tertinggi RM6.11 Bilion

KUALA LUMPUR – CIMB Group Holdings Bhd, firma kewangan 27.27 peratus milik Khazanah Nasional Bhd, mencatat keuntungan kasar sebanyak RM6.11 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Ia meningkat RM1.23 bilion atau 25.1 peratus daripada RM4.88 bilion pada tahun sebelumnya.

Kumpulan itu mencatat keuntungan bersih RM4.61 bilion pada tahun kewangan dikaji, naik RM0.98 bilion atau 26.9 peratus daripada RM3.63 bilion pada tahun 2016.

Dari segi pendapatan pula, CIMB mencatat RM17.63 bilion pada tahun lalu berbanding RM16.07 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi tahun kewangan dikaji, kumpulan itu mengumumkan dividen keseluruhan 25 sen atau RM2.28 bilion, menyaksikan kadar pembayaran dividen meliputi 51 peratus daripada keuntungan tahun kewangan dikaji.

Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata pihaknya berpuas hati kerana dapat memenuhi sasaran utama kewangan kumpulan untuk tahun 2017 dengan berjaya mencatat keuntungan kasar tertinggi dalam sejarah.

Katanya, kedua-dua sektor perbankan borong dan pengguna masing-masing mencatat pertumbuhan PBT sebanyak 53 peratus dan 11.8 peratus.

“Prestasi perbankan komersial kami terjejas dengan peruntukan yang lebih tinggi daripada jangkaan di Singapura dan Thailand walaupun Malaysia menunjukkan prestasi yang baik.

“Keuntungan kasar CIMB Niaga naik 45.7 peratus dan CIMB Thai kembali meraih keuntungan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.