Wakil PPBM Tak Hadir Mesyuarat, Agihan Kerusi Pembangkang Gagal Dimuktamadkan

KUALA LUMPUR – Mesyuarat pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hari ini gagal mencapai keputusan muktamad.

 

Ia gara-gara dua wakil parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dijemput, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman gagal hadir.

 

Sepanjang tiga jam mesyuarat yang diadakan di Wisma Amanah Negara di sini hanya kelihatan hanya wakil DAP, PKR dan PAN sahaja yang hadir.

 

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang ditemui media selaku wakil sekretariat PH berkata, mesyuarat hari ini menampakkan kemajuan walaupun tanpa wakil PPBM.

 

“Kita harus mengambil kira banyak perkara kerana setiap negeri itu mempunyai dinamik yang berbeza. Bagaimanapun, mesyuarat hari ini dapat mencapai pelbagai kemajuan.

 

“Antaranya yang dipersetujui ialah untuk meletak beberapa parameter atau asas sesuatu kerusi itu untuk dituntut seterusnya menjadi panduan bagi sesuatu parti untuk menuntut kerusi tertentu,” kata Saifuddin.

 

Mengenai ketidakhadiran wakil PPBM, Saifuddin berkata, daripada komunikasi terakhir antara beliau dengan Mukhriz dan Rashid, PPBM masih memerlukan masa untuk menentukan kerusi yang mahu mereka bertanding dan kajian mereka juga masih belum lengkap.

 

“Sepatutnya PPBM hari ini diwakili oleh Mukhriz dan Rashid tapi dalam komunikasi terakhir antara saya dengan Mukhriz, berbeza dengan kami tiga parti yang sudah selesaikan homework kami, Mukhriz memaklumkan PPBM perlukan sedikit lagi masa,” katanya.

 

Menurut Saifuddin, tiga parti PH iaitu PKR, DAP dan PAN sudah bersedia dengan senarai kerusi-kerusi yang mereka akan tuntut nanti.

 

Situasi dihadapi PPBM itu boleh difahami, kata Saifuddin, memandangkan parti tersebut baharu ditubuhkan dan mereka perlu melalui banyak proses seperti dihadapi PKR sebelum ini pada tahun 1999.

 

“Saya faham kerana mereka baru saya ditubuhkan dan mereka sedang membaca tentang keupayaan dan kemampuan PPBM di setiap negeri dan kami juga telah melalui proses itu pada tahun 1999 dan begitu juga dengan PAN,” ujarnya.

 

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, PH akan memberi masa yang munasabah kepada PPBM dalam menyediakan tuntutan kerusi yang ingin mereka tandingi nanti.

 

“Kami bersetuju untuk beri ruang yang munasabah kepada PPBM untuk mereka dapat lebih sedia bagi kemukakan kerusi yang mahukan,” katanya.

 

Berhubung rundingan dengan Pas, Saifuddin berkata PH, tidak ada rundingan bersama dengan parti Islam tersebut buat masa ini.

 

“Kami tidak ada wakil Pas, kami tidak bincang dengan Pas. Kami hanya mana PKR nak kerusi, DAP nak atau PAN nak. Tapi kami masih tidak dengar daripada Pas,” terangnya lagi.

 

Dalam mesyuarat hari ini, pemimpin PH yang hadir antaranya Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, Pengarah Pilihan Raya PAN, Dr. Hatta Ramli dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.