TMJ Ada Skil, Mampu Jadi Penyerang JDT

KUALA LUMPUR – Sekiranya Tunku Ismail Sultan Ibrahim didaftarkan sebagai pemain Harimau Selatan pada jendela perpindahan pemain Mei ini, bahagian serangan adalah posisi terbaik yang bakal digalas oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

 

Penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri berkata, selepas menonton aksi Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam beberapa rakaman video, dia percaya, Tunku Ismail memiliki skil untuk menjadi seorang penyerang.

 

Kata Hazwan, seandainya Tunku Ismail serius untuk beraksi dalam Liga Malaysia bersama JDT, dia amat teruja untuk bergandingan dengannya, biarpun dalam masa yang sama berdebar menantikan detik berkenaan.

 

“Saya tidak pernah berlatih dengan beliau sebab saya pun masih baru dalam JDT tetapi selepas menonton rakaman video, saya fikir TMJ boleh beraksi di bahagian serangan.

 

“Kami sebagai pemain JDT berasa sangat bertuah jika perkara ini berlaku kerana ia lain daripada yang lain, namun tidak dinafikan kami pasti gemuruh bakal beraksi dengan pemilik kelab,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

 

Sabtu lalu menerusi Facebook JOHOR Southern Tigers (JST), JDT mengumumkan bakal melakukan tiga perubahan dan salah satunya adalah mendaftarkan Tunku Ismail sebagai pemain apabila jendela perpindahan dibuka. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.