Tebusan German Dipenggal

MANILA – Satu rakaman video anggota kumpulan militan Abu Sayyaf menyiarkan kumpulan itu memenggal kepala tebusan warga Jerman, Jurgen Gustav Kantner yang diculik di selatan Filipina.

 

Video yang dikongsikan SITE Intelligence Group, yang memantau laman sesawang militan, merupakan petunjuk pertama Abu Sayyaf melakukan ancaman membunuh Kantner selepas tarikh akhir pembayaran wang tebusan tamat kelmarin, lapor Metro.

 

Dalam video berkenaan Kantner dilihat duduk di atas rumput dan berkata, ”Kini mereka akan membunuh saya.”

 

Seorang anggota militan yang memakai topeng kemudian memenggal kepala Kantner dengan menggunakan pisau bengkok.

 

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Jerman Martin Schaefer berkata, pakar meneliti video itu bagi memastikan ia asli atau tidak.

 

“Sekiranya video ini asli, ia sangat mengejutkan,” katanya.

 

Abu Sayyaf menculik Kantner dan membunuh isterinya selepas memintas kapal layar yang dinaiki pasangan itu yang dikatakan berhampiran perairan Sabah di Malaysia pada November lalu.

 

Kumpulan itu meminta wang tebusan berjumlah 30 juta peso (RM2.7 juta) sebagai syarat untuk membebaskan Kantner.

 

Abu Sayyaf juga masih menahan beberapa tebusan warga asing termasuk dari Indonesia dan Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.