Takata Mengaku Salah Skandal Beg Udara

DETROIT: Pembuat alat ganti kereta Jepun, Takata Corp mengaku bersalah atas tuduhan penipuan dan bersetuju membayar AS$1 bilion (RM4.44 bilion) penalti kerana menyembunyikan kecacatan beg udara.

 

Skandal itu dikaitkan dengan sekurang-kurangnya 16 kematian, majoritinya di Amerika Syarikat (AS).

 

Isu itu dianggap lebih meluas apabila peguam plaintif mendakwa lima pembuat kenderaan terbesar tahu peranti itu berbahaya namun terus menggunakannya selama beberapa tahun untuk menjimatkan wang.

 

Ketika pengakuan bersalah itu, Takata mengakui menyembunyikan bukti bahawa jutaan pengepam beg udaranya boleh meletup akibat tekanan terlalu banyak, mengeluarkan serpihan membawa maut ke arah pemandu dan penumpang.

 

YOICHIRO Nomura ketika keluar dari mahkamah persekutuan di Detroit semalam. – Foto AP Ketua Pegawai Kewangannya, Yoichiro Nomura, bercakap bagi pihak syarikat berpusat di Tokyo itu, mengatakan tindakan itu ‘benar-benar tidak boleh diterima.’

 

Masalah pengepam dikaitkan atas 11 kematian di AS sahaja dan lebih 180 kecederaan di seluruh dunia.

 

Ia diperbetulkan dengan memanggil balik 42 juta kenderaan dan 69 juta pengepam, tindakan seumpama itu yang terbesar dalam sejarah automotif AS. – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.