Syarikat Didakwa Ada Kaitan ‘Agensi Risikan’ Korea Utara Dibatal Pendaftaran – KPN

SHAH ALAM – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kewujudan dua syarikat di negara ini yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi risikan Korea Utara.

 

Bagaimanapun ujarnya, dua syarikat itu – International Global System Sdn Bhd dan International Golden Services Sdn Bhd, sedang dalam proses dibatalkan pendaftarannya.

 

Dua syarikat itu, lapor media antarabangsa semalam, didakwa mempunyai kaitan dengan Glocom – syarikat yang digerakkan oleh agen risikan Korea Utara yang beralamat di Brickfields, Kuala Lumpur.

 

“Berdasarkan laporan media antarabangsa semalam, saya menafikan syarikat itu kononnya dikawal ejen perisikan Korea Utara dengan nama Glocom.

 

“Berdasarkan laman web glocom.com.my yang didaftar pada 2009, ia didaftar oleh syarikat International Global System Sdn Bhd.

 

“Mengikut laman web itu juga, International Golden Services Sdn Bhd bertindak sebagai syarikat yang boleh dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, PDRM sentiasa memantau perkembangan dan mengambil tindakan tegas untuk memastikan Malaysia tidak digunakan sebagai lokasi melaksanakan aktiviti yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

 

Agensi berita antarabangsa Reuters dalam laporannya semalam mendakwa, Glocom adalah syarikat dikendalikan ejen perisikan Korea Utara yang menjual peralatan radio tempur.

 

Katanya, Glocom mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi tentera dan separa tentera di laman web miliknya di Malaysia, glocom.com.my.

 

Reuters yang memetik laporan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendakwa, urus niaga syarikat itu melanggar sekatan PBB. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.