Silap Umum Pemenang Di Anugerah Oscar

KESILAPAN yang terjadi sewaktu Anugerah Academy ke -89 yang berlangsung di Dolby Theater merupakan sesuatu yang diperkatakan oleh semua orang.

 

Seolah-olah mengulang kembali kisah Steve Harvey yang sebelum ini tersilap umum pemenang Miss World, kali ini, penyampai anugerah Warren Beaty mengumumkan Filem La La Land sebagai pemenang sedangkan ia adalah milik filem ‘Moonlight’.

 

Situasi di atas pentas menjadi kelam-kabut apabila setelah pengarah dan pelakonnya memberikan ucapan, Beaty kemudiannya membetulkan kesilapannya dengan mengumumkan pemenang sebenar kategori tersebut sambil menunjukkan sampul surat pemenang sebenar di tangannya.

 
Pengacara anugerah tersebut, Jimmy Kimmel turut cuba mengurangkan ketegangan dengan berjenaka.

 

“Adalah sangat malang perkara ini terjadi namun secara peribadi, saya menyalahkan Steve Harvey,” katanya.

 

Pengarah filem ‘Moonlight’, Barry Jenkins sewaktu ucapannya sempat berkongsi penghargaannya kepada filem La La Land.

 

“Walaupun saya sedang bermimpi tidak mungkin ini semua adalah benar, namun ia adalah realiti! Peluk cium buat La La Land dan semua orang,” katanya.

 

Beaty ketika ditemui di belakang pentas menerangkan situasi tersebut kepada kepada media.

 

“Ketika saya membuka sampul surat itu, ia tertulis ‘Emma Stone, La La Land’, sebab itulah saya memandang lama ke arah Faye Dunaway, saya tidak cuba menjadi kelakar.

 

“Saya masih bingung dengan apa yang telah terjadi,” katanya sambil memegang sampul surat berisi nama pemenang sebenar.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.