PM Perancis Digesa Iktiraf Negara Palestin

PARIS – Lebih daripada 150 ahli Parlimen Perancis menandatangani satu surat terbuka menggesa Presiden Francois Hollande supaya secara rasmi mengiktiraf wilayah Palestin sebagai sebuah negara.

 

Portal France24 melaporkan, langkah itu dibuat ketika masyarakat antarabangsa cuba menghidupkan semula penyelesaian dua negara (melibatkan pengiktirafan pembentukan dua negara – Israel dan Palestin) selepas rundingan kali terakhir yang ditaja Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry gagal pada tahun 2014.

 

“Perancis perlu menunjukkan kesediaannya untuk mengatasi kebuntuan dalam konflik ini de­ngan mengesahkan bahawa rak­yat Palestin berhak mempunyai sebuah negara.

 

“Selain itu, undang-undang antarabangsa juga perlu dihormati ketika keselamatan Israel turut menjadi pertaruhan,” kata Timbalan Ketua Parti Sosialis, Gilbert Roger dalam dalam surat yang ditandatangani oleh ahli-ahli Parlimen Perancis mewakili pelbagai parti kepada Hollande.

 

Perancis sudah lama menyokong langkah penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

 

Antara ahli Parlimen yang menandatangani surat terbuka itu ialah Senator dari Parti Sosialis, Marie-Noëlle Lienemann, Cathe­rine Tasca dan Mathieu Hanotin diikuti anggota Parti Republikan, Senator Jean-Luc Reitzer dan Michel Voisin.

 

Turut serta, timbalan Parti Komunis, Marie-George Buffet dan Pierre Laurent serta anggota Parti Hijau, Aline Archimbaud serta Esther Benbassa.

 

“Presiden, tolong buktikan anda mampu melakukan tugas ini dan tidak terlepas peluang bersejarah dengan mengiktiraf sebuah negara Palestin,” kata surat terbuka itu lagi.

 

Penyelesaian dua negara menjadi asas dasar antarabangsa dan Amerika tetapi pada 15 Februari lalu, Presiden AS, Donald Trump menyatakan langkah itu bukan satu-satunya penyelesaian kon­flik Israel-Palestin sekali gus mengubah komitmen Washington sejak dua dekad.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.