Naya, Pemuda India Dituduh Warga Bangladesh Hanya Kerana Nama Cina

Akibat tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak, seorang lelaki telah menjadi agenda politik apabila dituduh sebagai warga Bangladesh yang diberikan Mykad semata-mata untuk proses pengundian pada pilihan raya umum nanti.

 

Hakikatnya, lelaki itu, Pang Chee Pin, 34,  adalah rakyat Malaysia dan dibesarkan oleh keluarga angkat berketurunan Cina sejak kecil lagi.

 

Menurut sepupunya, yang hanya mahu dikenali sebagai Susan, 50, Pang yang berketurunan India, telah menetap bersama bapa saudaranya sejak dia berusia setahun.

 

“Saya dan dia adalah sepupu. Namun pakcik saya telah meninggal dunia 25 tahun lalu jadi ibu bapa saya telah menjaganya. Dia meninggalkan rumah kami kira-kira enam tahun lalu.

 

“Kali terakhir saya bertemunya adalah tiga tahun lalu di Hospital Kuala Lumpur, selepas dia dimasukkan ke situ akibat penyakit buah pinggang,” katanya kepada The Star yang menemuinya di Segamat.

 

Susan juga telah terputus hubungan dengan Pang sejak itu. Jelasnya, bapa saudaranya telah memberikan nama Cina kepada anak angkatnya itu meskipun dia berasal dari keluarga keturunan India di Simpang Renggam.

 

Tambahnya, Pang sebelum ini mempunyai nama India ketika dilahirkan namun bapa saudaranya telah meminta kebenaran pihak berkuasa untuk membenarkan dia menggunakan nama Cina.

 

Pang, fasih bertutur dalam bahasa Mandarin, Hakka dan kantonis serta mendapat pendidikan di sekolah jenis kebangsaan Cina.

 

“Menurut ibu saya, Pang dijadikan anak angkat oleh pakcik dan isterinya bagi membantu meringankan beban keluarga kandungnya,” katanya.

 

Susan memberitahu, dia menyedari mengenai Mykad sepupunya yang menjadi tular di media sosial dan telah dikunjungi oleh polis yang telah mencatatkan kenyataan berhubung Pang.

 

Tegas Susan, Pang adalah rakyat Malaysia jadi dia berharap agar orang ramai dapat menghentikan penyebaran Mykad pemuda berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.