Muhyiddin Masuk Bakul Angkat Sendiri

SHAH ALAM – Warkah terbuka Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat seolah-olah mengiyakan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa dirinya seorang yang angkuh dan sombong.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, teguran tersebut tidak dipandang serius oleh Muhyiddin malah warkah terbuka bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga dilihat seolah-olah mencabar pihak istana.

 

“Dia (Muhyiddin) tidak perlu menjelaskan jasa-jasa yang telah dilakukannya sewaktu berkhidmat dahulu kerana khidmat bakti tersebut adalah ketika beliau bernaung di bawah panji Umno/BN.

 
“Kelihatan seperti dia cuba menyembunyikan dosa-dosa lampau dengan menyatakan jasa-jasa yang telah dilakukannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sebelum ini, laporan berita memetik kenyataan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai kegagalan dua Menteri Besar Johor sebelum ini mentadbir negeri itu dengan baik. Muhyiddin kemudiannya tampil dengan warkah terbuka berkaitan hal itu.

 

Mengulas lanjut Ab Aziz turut mempertikaikan keupayaan Muhyiddin ketika menjawat jawatan Menteri Besar Johor.

 

“Saya ingin menyingkap sedikit tentang kegagalan Muhyiddin seperti menguruskan Amanah Saham Johor (ASJ) sehinggakan masih terdapat ramai yang menanggung hutang akibat melakukan pinjaman untuk membeli saham tersebut.

 

“Begitu juga dengan keputusan Muhyiddin untuk menukarkan hari cuti negeri Johor daripada hari Jumaat kepada hari Ahad sehingga mendapat bantahan yang luar biasa dari rakyat Johor termasuk dari pihak Istana, setelah 22 tahun barulah dapat dikembalikan semula,” katanya lagi.

 

Ab Aziz turut menasihatkan Muhyiddin agar jangan menabur fitnah dan berpolitik secara matang.

 

“Janganlah menabur fitnah, bersifat angkuh dan sombong akibat cita-cita politik yang tidak kesampaian, kita boleh berlainan pendapat tetapi biarlah berpolitik secara matang dan progresif yang akhirnya memberi khidmat dan mendatangkan manfaat kepada rakyat,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.