Menggali Semula Skandal Forex 25 Tahun Lalu

Jemaah menteri pada mesyuarat kabinet 15 Februari lalu bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing (forex) oleh Bank Negara sekitar tahun 1990-an.

 

Walaupun kejadian itu berlalu kira-kira 25 tahun lalu, namun kerajaan hari ini tiba-tiba menunjukkan minat untuk menyiasat urus niaga pertukaran asing Bank Negara pada masa itu dan mengetahui apa yang berlaku.

 

Apa berlaku ketika itu?

 

Antara 1989 dan 1993, Bank Negara terlibat dalam urus niaga pasaran pertukaran asing (forex). Laporan Reuters pada 1991 malah memetik peniaga matawang mendakwa bahawa bank pusat itu adalah antara pemain utama dalam forex.

 

Walau bagaimanapun, butiran urusan Bank Negara kekal tidak jelas hingga hari ini, dan tidak ada sebarang siasatan setakat ini – sekurang-kurangnya tidak yang diketahui umum.

 

Apa yang jelas ialah bahawa Bank Negara kehilangan wang yang banyak dalam urus niaga berkenaan. Jumlah yang hilang itu pada mulanya dilaporkan sebagai RM9.3 bilion, yang menyebabkan kejatuhan rizab bank pusat.

 

Jumlah itu kini dipercayai menghampir RM31.3 bilion, atau kira-kira AS$10 bilion pada kadar pertukaran pada masa itu.

 

Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Jaafar Hussein dan timbalannya Tan Sri Nor Mohamed Yakcop kemudiannya meletak jawatan susulan skandal itu.

 

Bagaimanakah muncul jumlah RM31.3 bilion itu?

 

Kerugian forex tertera dalam akaun Bank Negara di antara tahun 1993 dan 2002 sebagai “perbelanjaan tertunda”, dan jumlah itu bersamaan angka berkenaan.

 

Satu nota kaki yang disertakan berbunyi: “Ini mewakili kekurangan yang timbul daripada urus niaga pertukaran asing pada tahun 1993.”

 

Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memetik angka yang sama pada satu sidang media pada tahun 2007 – kerugian sebanyak RM33.8 bilion diimbangi oleh keuntungan RM2.5 bilion pada tahun 1990.

 

Mengapa Bank Negara melakukan ini?

 

Pengkritik skandal ini berulang kali menuduh Bank Negara membuat spekulasi mengenai forex untuk mendapatkan keuntungan.

 

Sebaliknya, kata mereka, peranan bank pusat adalah untuk memastikan kestabilan sistem ekonomi dan kewangan negara dan bukannya mengambil risiko di luar negara untuk mendapatkan keuntungan.

 

Semasa perbahasan parlimen pada 27 April 1993, Anwar berhujah bahawa mengambil risiko tersebut adalah tepat dan apa yang cuba dilakukan oleh Bank Negara berjaya mengukuhkan ringgit.

 

Selepas disingkirkan daripada kerajaan, Anwar kemudiannya mendakwa beliau berada dalam gelap berhubung masalah forex.

 

Beliau mendakwa perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersekongkol dengan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan Timbalan Gabenor Bank Negara Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam urusniaga itu.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.