Akrab : Fathia Pertahan Uqasha, Tetapi Tidak Mahu Ikut

Keakraban pelakon Nur Fathia Abdul Latiff dan Uqasha Senrose seakan adik beradik itu membuatkan mereka saling mempertahankan antara satu sama lain.

 

Terbaharu, memetik laporan Utusan, biarpun pelbagai persepsi dibuat terhadap Uqasha, namun Fathia berkata tidak seharusnya teman rapatnya itu terus menerus dihukum.

 

Mahu atau tidak, Fathia, 30, turut terima tempias daripada pilihan Uqasha.

 

Bagaimanapun menurut Fathia, dia mempunyai pandangan berbeza.

 

“Uqasha adalah kawan baik saya, mereka yang bercakap tentang dia tidak pernah kenal siapa dia.

 

“Mereka tidak pernah bercakap dengan dia, jadi apa yang mereka tahu tentang Uqasha?

 

“Saya kenal Uqasha, seorang yang baik dan sebagai rakan saya selesa untuk mendampingi dirinya.

 

“Soal dia bertudung atau tidak itu bukan masalah sebab saya tahu dia seorang yang ikhlas ketika (berkawan) dengan saya,” katanya.

 

Menolak dirinya juga bakal terpengaruh dengan keputusan Uqasha untuk tidak bertudung, Fathia melihat perkara ini dari perspektif yang cukup matang.

 

Baginya setiap keputusan yang dibuat tidak pernah melibatkan pandangan orang lain terutama dari segi kekuatan hatinya.

 

“Kenapa saya perlu terpengaruh dengan dia? Bagi saya walaupun kami adalah kawan baik namun dia dan saya adalah dua individu yang berbeza.

 

“Bagi saya soal terpengaruh bukan isu. Saya berkawan dengan Uqasha kerana dia seorang rakan yang baik.

 

“Saya tidak pernah nampak dia akan memberi kesan negatif kepada saya,” katanya jujur.

 

Tambahnya: “Berkawan dengan Uqasha membuatkan saya belajar banyak perkara malah ada yang kita tidak tahu tentang kebaikan dirinya.

 

“Pada masa yang sama saya juga terikut dengan kebaikan yang dilakukan Uqasha. Itu yang orang tidak dapat lihat dan saya rasa sangat bertuah.”

 

Turut dikritik gara-gara mengenakan fesyen Muslimah yang agak berani, dalam soal ini Fathia tidak mampu menolak ketidaksempurnaan dirinya.

 

Apa pun dia tidak pernah marah dengan mereka yang berterusan menghentam cara pemakaian dan keterampilannya.

 

“Saya tidak marah. Memang ada benarnya teguran mereka itu. Pada mulanya mengenakan tudung saya sangat berhati-hati berpakaian.

 

“Itu imej yang saya bawa tapi lama-kelamaan saya takut timbul sikap memberontak kerana saya faham islam itu adalah mudah.

 

“Jadi saya ambil jalan untuk melakukan perubahan itu secara perlahan-lahan,” jelasnya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.