Abu Sayyaf Penggal Tebusan Warga Jerman

MANILA – Militan-militan kumpulan Abu Sayyaf di Filipina memenggal kepala tebusan warga Jerman, Jurgen Kantner yang ditawan bagi mendapatkan wang tebusan, kata kerajaan di Manila semalam.

 

Rakaman video yang dimuat naik Abu Sayyaf dan dipantau oleh kumpulan perisikan SITE menunjukkan Kantner dibunuh oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau.

 

Kematian rakyat Jerman itu kemudian disahkan oleh utusan Manila, Jesus Dureza.

 

“Kami mengutuk keras tindakan tidak berperikemanusiaan memenggal kepala mangsa culik ini,” kata Dureza dalam satu kenyataan.

 

“Sehingga kini, pelbagai badan termasuk Angkatan Bersenjata Filipina sudah melakukan segala usaha untuk menyelamatkan nyawa mangsa.

 

“Kami sudah mencuba yang terbaik tetapi gagal,” tambahnya.

 

Beberapa pegawai tentera di selatan Filipina berkata, mereka masih belum menemui mayat warga Jerman itu.

 

Kumpulan Abu Sayyaf meminta wang tebusan 30 juta peso (RM2.6 juta) dan perlu dibayar menjelang tarikh akhir semalam bagi menyelamatkan nyawa tebusan berusia 70 tahun itu.

 

Kantner diculik dari kapal layar miliknya, Rockall di perairan selatan Filipina pada tahun lalu.

 

Kapal layar itu ditemui hanyut bersama mayat isteri Kantner, Sabine Merz pada 7 November 2016. Mayat wanita itu mempunyai kesan tembakan.

 

Pasangan itu pernah diculik dan ditawan selama 52 hari di Somalia pada 2008 sebelum dibebaskan. Sejumlah wang tebusan dibayar untuk pembebasan mereka.

 

Kumpulan Abu Sayyaf yang melafazkan ikrar taat setia kepada militan Daesh di Asia Barat telah menculik warga asing dan penganut agama Kristian sejak beberapa dekad lalu bagi mendapatkan wang tebusan.

 

Semua tebusan itu ditawan di lokasi rahsia di dalam hutan di selatan Filipina.

 

Jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Restituto Padilla berkata, Abu Sayyaf masih menawan sekurang-kurangnya 19 rakyat asing dan tujuh tebusan Filipina. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.