Tabung Haji Buat Laporan Polis Terhadap Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berhubung tuduhannya mengatakan TH memberi jaminan korporat kepada syarikat sekutu, TH Heavy Engineering Bhd (THHE).

 

Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat TH dalam kenyataan akhbar hari ini berkata, TH sekali lagi menafikan tuduhan pihaknya memberi jaminan korporat kepada THHE.

 

Sehubungan itu, katanya, TH meminta Rafizi untuk menamakan bank yang memberikan pinjaman kepada THHE dengan surat jaminan korporat TH seperti yang didakwa.

 

“TH amat kesal dengan penyebaran dokumen melalui laman sosial secara rambang dan tuduhan tidak berasas serta berunsur fitnah.

 

“Dakwaan berkenaan memberi impak negatif kepada TH dan akan menjejaskan kepentingan pendepositnya. Jadi, TH sudah membuat laporan polis terhadap Rafizi berkaitan dakwaan dan dokumen yang disebarkan oleh beliau,” katanya.

 

TH berkata, beberapa laporan polis terhadap Rafizi sudah dibuat minggu lalu dan ia dilakukan bagi menjaga kepentingan pendeposit dan reputasi TH sebagai sebuah Institusi Islam di Malaysia.

 

“TH akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan secepat mungkin,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.